PUTRAJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memaklumkan semua urusan pengisian kekosongan jawatan di SPA termasuk urusan peperiksaan secara online atau dalam talian adalah melalui SPA sahaja.
Dalam satu kenyataan di sini Isnin, SPA berkata pemakluman itu dibuat berikutan SPA telah mengesan penggunaan nama SPA oleh Ramon Bizz Enterprise di satu laman web yang mendedahkan contoh-contoh soalan peperiksaan bagi calon yang bakal menduduki peperiksaan secara online SPA.
Melalui laman web beralamat ‘http://ujianspa.com’ itu, calon yang berminat untuk menduduki peperiksaan percubaan tersebut dikehendaki membeli ‘pas’ berharga RM20 terlebih dahulu, katanya.
“Untuk makluman, SPA tidak pernah melantik mana-mana pihak bagi tujuan tersebut.
“SPA menjalankan semua urusan pengambilan mengikut tatacara yang ditetapkan di mana setiap soalan peperiksaan adalah ‘RAHSIA’ sehingga pada tarikh dan masa yang ditetapkan dan mengikut standard MS ISO 9001:2008 dan MS ISO/IEC 27001:2007,” menurutnya.
Sehubungan itu, SPA telah membuat satu laporan polis dan semua pihak berkepentingan dinasihatkan tidak terpedaya dengan iklan tersebut serta disaran untuk merujuk sebarang urusan peperiksaan secara online dengan SPA secara terus.
Sebarang maklumat lanjut bolehlah menghubungi SPA di talian 03-88856000/ 03-88856064/ 03-88856098 atau melayari laman web SPA di www.spa.gov.my. – BERNAMA