Para peniaga bazar larut malam (uptown) Seksyen 24, Shah Alam menzahirkan rasa kecewa terhadap pentadbiran Kerajaan Selangor kerana masih belum mengotakan janji untuk membaiki semula tapak jualan tersebut.
Pada 15 Oktober tahun lalu, sebahagian besar kawasan perniagaan itu hangus dijilat api, lantas, Menteri Besar, Azmin Ali berjanji untuk memajukannya semula dalam jangka masa dua bulan.
[TERDAHULU: Uptown Shah Alam Akan Dibangunkan Semula – Azmin]
Namun, menurut wakil Uptown Shah Alam, Hassan Nuruddin, janji hanya tinggal janji apabila sehingga kini, projek bangunan sementara Uptown masih gagal disiapkan dan ditangguhkan sehingga Mei depan.
“Semasa lawatan, menteri besar membayangkan pembangunan semula boleh disiapkan hanya dalam masa dua bulan dari tarikh kejadian.
“Namun sehingga kini perjalanan projek tersebut amatlah mendukacitakan,” ujarnya seperti yang disiarkan portal The Malaysian Insider.
Tambahnya lagi, akibat dari ketiadaan tapak, segelintir peniaga terpaksa memacak khemah di kawasan tapak letak kereta, namun situasi tersebut mengakibatkan mereka kerugian kerana peralatan mudah rosak ketika cuaca hujan ribut.
Bukan itu sahaja, mereka turut tidak dibekalkan dengan keperluan elektrik dan terpaksa bergantung kepada generator, namun masih perlu membayar kos sewa tapak yang tinggi.
Akibatnya, para peniaga menanggung kerugian hampir 50% dari keuntungan yang diperoleh dahulu kerana ia kini gagal menggamit kehadiran pengunjung.
“Kerisauan peniaga semakin meruncing apabila bulan Ramadan yang semakin hamper tiba kerana bulan puasa diibaratkan seperti musim menuai bagi kami.”
Sebelum ini, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) telah meluluskan peruntukkan bagi membina bangunan sementara RM3.5 juta, serta projek bangunan kekal yng menelan kos RM18 juta.
– MYNEWSHUB.CC
Kebakaran Di Uptown Seksyen 24, Shah Alam Oktober Tahun Lalu