KUALA LUMPUR – Dua Ahli Parlimen pembangkang mendakwa mempunyai bukti tepung paket 1Malaysia 1 kilogram bersubsidi dijual di negara jiran pada harga SGD2.20.
Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng daripada parti DAP mendakwa, mereka mempunyai bukti itu berdasarkan gambar yang diperoleh daripada pihak tertentu.
“Kami menerima bukti bergambar pek tepung yang mempunyai logo 1Malaysia dengan jenama `Blue Key’ dibeli di sebuah kedai runcit di Singapura pada harga SGD2.20.
“Ia bersamaan harga RM5.94 atau empat kali ganda daripada harga di Malaysia. Kami juga mendapati paket tepung itu mempunyai cap harga dan subsidi yang dibayar dalam ringgit,” dakwa mereka dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, kedua-dua mereka meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyiasat perkara itu dengan segera.
Mereka turut meminta KPDNKK menjelaskan jika berlaku kelemahan dalam pengagihan tepung bersubsidi tersebut kepada pemborong hingga menyebabkan ia dijual di Singapura,
“Paling penting Jabatan Kastam Diraja Malaysia menjelaskan bagaimana barangan makanan bersubsidi boleh bocor melalui sempadan negara,” kata mereka.
Dakwa mereka, dianggar sebanyak RM185 juga dibelanjakan KPDNKK sebagai subsidi tepung pada tahun lalu dan RM150 juta untuk tahun ini.
“Untuk setiap paket tepung tersebut yang dijual pada harga RM1.35, kerajaan membayar 0.55 sen sebagai subsidi,” dakwa mereka.
– MYNEWSHUB.CC
VIDEO SAMPINGAN – BUKAN KEJADIAN DI ATAS