IPOH – Kedai Bergerak 1Amanjaya (KB1AJ) tidak mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas barangan yang dijualnya, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata kedai bergerak itu bukan sahaja tidak mengenakan GST malah menawarkan potongan harga sebanyak lima peratus bagi setiap barangan.
“Ini adalah pendekatan kami untuk membantu rakyat dan golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan pedalaman sekali gus dapat mengurangkan kesusahan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan lori KB1AJ di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak hari ini.
KB1AJ, yang dikendali Yayasan Bina Upaya (YBU), mula beroperasi sejak April tahun lepas dan berjaya menarik sejumlah 45,860 pelanggan dengan nilai jualan sebanyak RM1.5 juta.
“Ini juga adalah antara usaha yang kami lakukan di negeri ini, yang akan diteruskan, dalam usaha untuk membantu rakyat.
“Mungkin selepas ini sekiranya ada kemampuan, kami akan mewujudkan premis perniagaan seperti Kedai Rakyat 1Malaysia di setiap kawasan,” katanya.
Menurut Zambry, kerajaan negeri akan menambah bilangan lori supaya kedai bergerak itu boleh ke kawasan yang memerlukan dengan lebih pantas.
“Dengan adanya bilangan lori ini, kita mengharapkan pusingan ke setiap kawasan akan mengambil masa dua atau tiga minggu berbanding sebelum ini, yang mengambil masa sehingga sebulan untuk pergi ke satu-satu kawasan,” katanya.
Antara barangan keperluan asas yang dijual KB1AJ ialah beras, minyak masak, tepung gandum, susu tepung, bawang merah, cili kering dan pelbagai rempah. – BERNAMA