KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) optimis pasukan The Red Warriors (TRW) akan memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super musim ini berikutan persembahan hebat menumpaskan Sime Darby baru-baru ini.
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, TRW bagaimanapun perlu terlebih dahulu menewaskan Selangor yang akan berkunjung ke Stadium Kota Bharu pada Sabtu ini.
“Selangor adalah jauh lebih kuat berbanding Sime Darby. Justeru tumpukan perhatian untuk mula mendaki anak tangga liga mulai sekarang.
“Lawan, lawan dan lawan kerana kita adalah TRW dan semi finalis Piala FA 2015,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Annuar menuntut pemain TRW mempertingkatkan lagi keupayaan terutama di bahagian tengah serta menggesa pemain tempatannya lebih agresif.
“Pemain mesti pastikan bola dapat dihantar kepada trio serangan TRW,” katanya.
TRW mula mencatatkan aksi hebat dengan kehadiran dua pemain import baharu sekali gus membolehkan pasukan itu menurunkan tiga penyerang import berbisa dalam sesebuah perlawanan.