BUKIT MERTAJAM – Usaha kerajaan yang terus komited menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada rakyat meningkatkan pendapatan sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan diiktiraf Bank Dunia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata institusi itu mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara yang efisien dalam menyediakan pinjaman dana dan bantuan kredit kepada rakyat.
“Malaysia sebuah daripada negara yang mencipta satu rekod luar biasa dalam usaha bukan sahaja memerangi malah mengatasi masalah kemiskinan. Jika dahulu, hampir 70 peratus tergolong dalam golongan yang miskin.
“Kita tahu kehidupan mereka dahulu agak susah, tidak ada pendapatan yang tetap, bekerja sendiri dan pendapatan mereka tak dapat menyara keluarga. Hampir 70 peratus tergolong dalam golongan miskin.
“Kini, kadar kemiskinan nasional sudah turun ke paras tak sampai dua peratus. Satu rekod yang tak dicapai banyak negara di dunia sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan surat pengiktirafan kepada Jabatan Perdana Menteri kerana berjaya membantu rakyat menerusi program e-Kasih,” katanya ketika berucap merasmikan Kelab Usahawan Ikhtiar Permatang Pauh, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, pengerusi Lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Dr Zubir Harun, pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh Suhaimi Sabudin.
Muhyiddin berkata penubuhan AIM misalnya membuktikan kejayaan kerajaan dalam membasmi kemiskinan dengan menyediakan dana kepada usahawan memulakan perniagaan.
Katanya pada masa yang sama kerajaan akan memastikan tidak ada pihak yang ketinggalan dalam menerima dana dan bantuan yang disediakan agensi-agensi kerajaan itu.
“Usaha ini akan kita teruskan sampai bila-bila. Pihak parti pembangkang apa skim pembiayaan yang mereka sediakan untuk membantu peniaga bumiputera…memang tidak ada, bumiputera tidak diberi perhatian.
“Walaupun Pulau Pinang dikuasai parti lawan tidak harus kita abaikan. Kita (Barisan Nasional) bela. Tidak ada rakyat kita terlepas daripada pembelaan. Saya berharap sahabat-sahabat yang ada akan sentiasa bersama dengan kerajaan,” katanya.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM100,000 sebagai dana permulaan Kelab Usahawan Ikhtiar Pulau Pinang. – BERNAMA