NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menjadi tuan rumah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) universiti awam (UA) 2015 yang diadakan tiga hari bermula Selasa di Dewan Besar USIM di sini.
Ketua Unit Pengurusan Acara dan Protokol, Pusat Komunikasi Strategik USIM, Mohd Zaini Othman berkata sebanyak 39 pasukan bakal mempertandingkan projek KIK mereka pada konvensyen kali ini, antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Terdapat dua kategori projek KIK yang dipertandingkan iaitu kategori Pengurusan dengan 21 penyertaan dan kategori teknikal sebanyak 18 penyertaan,” katanya dalam satu kenyataan di Nilai, Isnin.
Johan, naib johan dan tempat ketiga akan membawa pulang hadiah masing-masing berupa wang tunai RM6,000, RM4,000, RM2,000 bersama trofi dan sijil penghargaan.
Mohd Zaini berkata penganjuran Konvensyen KIK ini merupakan program tahunan utama yang amat dinantikan universiti awam sejak mula dianjurkan pada 2004.
Katanya KIK anjuran Jawatankuasa Latihan universiti merupakan mekanisme pengurusan berkesan untuk membina modal insan dalam perkhidmatan awam yang berketerampilan tinggi di samping mengiktiraf pekerja sebagai sumber paling bernilai dalam organisasi.
“Memasuki edisi ke-11 konvensyen ini sentiasa mendapat sambutan baik dan sokongan padu oleh pengurusan universiti berdasarkan penyertaan yang bertambah dan kualiti projek KIK yang meningkat saban tahun.
“Melalui penganjuran Konvensyen KIK ini, ia diharap akan menonjolkan kreativiti dan inovasi yang dihasilkan kakitangan universiti awam untuk diaplikasikan dalam proses kerja seharian,” katanya. – BERNAMA