KUALA LUMPUR (Bernama) — Program Sains Alam Sekitar Universiti
Sains Malaysia (USM) dan Program Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM)
menduduki 50 tempat teratas dalam QS World University Rankings by Subject 2015.
Program Sains Alam Sekitar USM yang diletakkan di bawah kategori Sains
Semula Jadi menduduki tempat ke-31 manakala Program Pengajian Pembangunan UM,
dalam kategori Sains Sosial, berada pada kedudukan ke-32.
Dalam kenyataan hari ini, QS Quacquarelli Symonds, penyedia maklumat global
pendidikan tinggi dan kerjaya, penyelidikan bebas dan penyelesaian, berkata
Program Pengajian Pembangunan UM adalah subjek baharu yang diberi ranking dalam
kategori berkenaan pada tahun ini.
Ketua Penyelidik QS Quacquarelli Symonds, Ben Sowter berkata Malaysia
mencatat kedudukan naik turun dalam QS World University Rankings by Subject
tahun ini.
“Walaupun sebahagiannya menurun bagi sesetengah subjek, jumlah perwakilan
institusi Malaysia meningkat dari enam kepada 10, dengan sesetengah subjek yang
baharu diperkenalkan mempamerkan prestasi kukuh seperti pengajian seni bina dan
pembangunan di mana dalam setiap satu daripadanya, tiga institusi Malaysia
menduduki antara 100 tempat teratas,” kata Sowter.
Sebanyak 23 subjek UM diberi ranking oleh QS World University Rankings by
Subject; Universiti Putra Malaysia (UPM) (19); USM (18); Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) (16); Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (10); Universiti
Teknologi Petronas (empat); Universiti Teknologi Mara (tiga); Universiti
Multimedia (dua); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Utara
Malaysia, masing-masing satu.
Kenyataan itu berkata UM tersenarai dalam kelompok 100 tempat teratas bagi
subjek Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautikal dan Pembuatan; Kejuruteraan Elektrik
dan Kejuruteraan Elektronik; Kejuruteraan Kimia; Linguistik; Bahasa dan
Kesusasteraan Inggeris dan Seni Bina/Alam Bina, manakala UPM tersenarai dalam
kedudukan 100 teratas bagi subjek Pertanian dan Perhutanan.
QS World University Rankings by Subject menyenaraikan universiti teratas
dunia dalam 36 subjek berdasarkan reputasi akademik dan majikan serta kesan
penyelidikan.
Sementara itu, Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin berkata
ranking bagi subjek UM secara umumnya bertambah baik tahun ini, dengan tujuh
subjek menduduki 100 tempat teratas berbanding enam pada 2014.
Mohd Amin yang gembira dengan prestasi UM itu, berkata ini juga merupakan
julung kalinya UM tersenarai dalam 50 tempat teratas melalui Program Pengajian
Pembangunan.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata
pemilihan UPM untuk menduduki antara tempat ke-100 terbaik dalam program
Pertanian dan Perhutanan merupakan pengiktirafan dunia terhadap universiti itu.
“Selain itu, kita juga di kedudukan kedua selepas UM kerana tersenarai dalam
19 subjek yang diiktiraf di bawah QS World University Rankings by Subject di
bawah program pertanian, perhutanan, pendidikan, kejuruteraan dan ekonomi,”
katanya ketika dihubungi Bernama.– BERNAMA