CIUDAD ACUNA, Mexico – Sekurang-kurangnya 13 orang maut manakala ratusan lagi cedera selepas tornado melanda bandar utara Mexico, Ciudad Acuna, sehingga menterbalikkan kenderaan dan memusnahkan rumah.
Antara yang terkorban ialah tiga kanak-kanak apabila ribut kencang itu memusnahkan kira-kira 750 kediaman di seluruh kawasan Rio Grande itu.
Jurucakap negeri Coahuila, Jesus Garcia, berkata bencana itu turut mencederakan 229 orang yang kini dirawat di beberapa hospital tempatan.
Menurut laporan, dinding dan siling rumah runtuh akibat tekanan angin berpusar itu yang bergerak selaju 50 kilometer sejam.
“Kita tidak biasa dengan kemusnahan sebegini,” kata Datuk Bandar Ciudad Acuna, Lenin Perez, kepada radio tempatan.
“Kita tiada rekod satu pun tornado di Acuna, bandar berusia 110 tahun.”
Seorang jurucakap Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan berkata, ia adalah tornado paling kuat melanda Mexico dalam tempoh sekurang-kurangnya 15 tahun. – Reuters/BH Online