KUALA LUMPUR – Pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diminta tidak bersikap lepas tangan daripada menjawab pelbagai tuduhan yang dilemparkan ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersebut.
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, sikap pengurusan 1MDB yang hanya berdiam akan menyebabkan isu yang dibangkitkan terus dispekulasikan oleh orang ramai hingga ia kelihatan seperti benar.
“Sebagai sebuah GLC yang bertanggungjawab, 1MDB sepatutnya mempunyai sebuah jabatan perhubungan awam untuk memberi respons segera jika ada isu dibangkitkan.
“IMDB tidak sepatutnya mengharapkan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang memberi penjelasan bagi pihak mereka pada setiap masa. 1MDB perlu juga bertanggungjawab menjawab segala isu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Keng Liang berkata, jika dakwaan palsu telah dibuat ke atas 1MDB, maka pengurusan 1MBD perlu mengambil tindakan undang-undang ke atas penyebar fitnah tersebut sebelum penyebarannya menjadi sukar dikawal.
Menurutnya, pengurusan 1MDB perlu menyedari bahawa sebarang fitnah yang dilemparkan ke atas syarikat GLC tersebut akan memberi kesan secara tidak langsung ke atas reputasi negara.
“Jika tiada tindakan undang-undang diambil ke atas penyebar fitnah, maka orang awam akan menyangkakan penipuan mereka mempunyai asas,” katanya. – mynewshub.cc
https://www.youtube.com/watch?v=Vle809lVudM