SINGAPURA – Sekurang-kurangnya 20,000 butir peluru yang sepatutnya bakal digunakan untuk pasukan penembak tempatan untuk Sukan SEA Singapura 2015 rosak akibat banjir kilat di Pusat Menembak Nasional.
Stesen penyiaran pemerintah Channel NewsAsia melaporkan, kejadian berlaku apabila paras air bah di tempat simpanan senjata Persatuan Senapang Singapura itu dinaiki setinggi lebih setengah meter pada malam Ahad.
Laporan akhbar tempatan pada Isnin mendedahkan, kejadian banjir yang jarang berlaku di republik tersebut dan cukup memalukan pihak penganjur temasya dwitahunan itu disebabkan masalah pada sistem pengaliran airnya.
Baca: Panik, Terowong Termahal Singapura Bocor Air Laut
Dianggarkan kira-kira 40,000 butir peluru kejohanan yang akan digunakan sepanjang Sukan SEA kali ini disimpan di tempat itu dan acara menembak bakal diadakan di SAFRA Yishun dari 6 hingga 13 Jun depan.
Sukan SEA 2015 secara rasmi akan berlangsung dari 5 hingga 16 Jun melibatkan 36 jenis sukan di 30 venue berbeza seluruh Singapura, manakala bagi acara menembak, ia membabitkan perebutan 26 pingat emas.
Media melaporkan, sekurang-kurangnya separuh daripada peluru berkenaan kini basah dan mungkin tidak lagi langsung boleh digunakan sekali gus jika hal itu terjadi, kerugiannya dianggarkan bernilai S$20,000 (RM54,000).
Namun Persatuan Senapang Singapura memberi jaminan, ia mahu memastikan peluang atlit tempatan meraih pingat pada Sukan SEA bulan depan tidak terjejas berikutan kejadian yang agak mengaibkan pihak terbabit.
Difahamkan puluhan ribu butir peluru untuk gantian baharu akan segera dibeli esok tetapi proses penghantaran kirimannya dijangka mengambil masa kira-kira dua atau tiga minggu. – Agensi/H.A.AMREE
ÂÂ