GEORGETOWN – Tiga bot nelayan Indonesia bersama tiga tekong dan 11 awak-awak ditahan kerana menceroboh perairan Pulau Pinang semalam.
Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Kamaruszaman Abu Hassan berkata ketiga-tiga bot itu ditahan berasingan antara 1.34 tengah hari dan 2.52 petang.
“Pemeriksaan mendapati kesemua bot yang ditahan pada jarak 36.5 hingga 42 batu nautika Pulau Kendi itu tidak mempunyai nombor pendaftaran atau permit sah menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata nelayan berusia antara 16 dan 40 tahun itu serta bot berkenaan dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Batu Maung untuk siasatan lanjut manakala 580 kilogram hasil tangkapan turut disita.
Dalam kes berasingan, Maritim menahan sebuah bot tunda milik pengusaha tempatan di 0.9 batu nautika di perairan Barat Daya Butterworth, dekat sini pada 9 pagi semalam kerana tidak melapor pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan.
Kamaruszaman berkata bot berkenaan melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, peraturan-peraturan bot 1953.
Beliau berkata bot bersama seorang nakhoda dan seorang kru masing-masing berumur 35 dan 56 tahun itu dibawa ke jeti Pasukan Gerakan Marin, Batu Uban untuk siasatan. – BERNAMA