KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menyasar untuk melatih 50,000 sukarelawan di seluruh negara bagi Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) menjelang akhir tahun 2016.
Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kesemua sukarelawan itu berkeupayaan melakukan pemeriksaan kesihatan seperti paras gula dalam darah, tekanan darah dan pengukuran Indeks Jisim Tubuh (BMI) ke atas 1.5 juta penduduk di negara ini.
“Kalau kita boleh sampai sasaran, itu satu kejayaan yang besar dan sampai sekarang pencapaian boleh dikatakan memuaskan dan semangat dalam kalangan akar umbi itu tinggi.
“Semalam saya melawat kawasan saya berkenaan satu isu, dengan adanya Kospen, ada penduduk tahu apa itu BMI dan kepentingannya. Ini adalah satu kejayaan. Ia berada dilaluan betul tetapi masanya masih panjang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kospen Rukun Tetangga peringkat kebangsaan di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.
Setakat ini, Dr Subramaniam berkata seramai 14,089 sukarelawan dilatih di 2,775 buah kampung.
“Kementerian juga telah membelanjakan sebanyak RM18 juta untuk membeli peralatan tapi itu memang tidak cukup,” katanya.
Program Kospen yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat sejak tahun 2013 bertujuan melatih sukarelawan bagi memberi kesedaran kepada rakyat terhadap tahap kesihatan diri terutama berhubung pemakanan sihat, hidup secara aktif, pengurusan berat badan, tidak merokok dan saringan kesihatan.
Mengenai MIC, Dr Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC menyangkal dakwaan presidennya Datuk Seri G. Palanivel bahawa kontroversi parti itu berpunca daripada bekas presiden Datuk Seri S. Samy Vellu.
“Itu tak betul. Kita semua mempunyai keupayaan untuk fikir sendiri dan membuat keputusan sendiri. Sememangnya bukan Samy Vellu yang mencetuskan kontroversi MIC,” tambahnya. – BERNAMA