MOHD Affendi Rosli menyifatkan pasukannya sudah mula menemui rentak yang hilang sepanjang dua pusingan lepas setelah berjaya meraih gelaran juara CP130 pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berakhir di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, hari ini.
Pelumba PETRONAS Yamaha-CKJ itu muncul juara setelah menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 16’08.555s sambil menyaksikan dua lagi gelaran menjadi milik pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor dengan Ahmad Fazli Sham di kedudukan kedua dan Abdul Muhaimin Roslan di tempat ketiga.
Fazli, juara pusingan pembukaan di Temerloh yang bermula dari petak terakhir menggunakan sepenuh pengalaman dan keupayaan jentera untuk menamatkan saingan di tangga kedua dengan masa keseluruhan 16’08.768s manakala Muhaimin dengan masa 16’17.087s.
“Setelah dua pusingan berlalu, kami nampaknya mula menemui rentak sebagaimana yang ditunjukkan pada musim lepas. Meskipun aksi saya pada hari pertama tidak begitu baik, namun saya masih mampu beraksi dengan konsisten dan mencatat masa sepusingan yang agak pantas. Mudah-mudahan jurutera pasukan akan terus bekerja keras bagi mendapatkan jentera yang kompetitif seperti hari ini dan menyaingi pasukan lain khususnya dari pasukan Maju Motor dan SCK Racing,” jelas Affendi yang gagal menamatkan perlumbaan pada pusingan pembukaan di Temerloh dan sekadar tempat kelapan sewaktu pusingan kedua di Batu Kawan.
Mengulas tentang aksi di Muar, Affendi memberitahu,”Saya sangat gembira dengan kemenangan ini setelah melalui dua perlumbaan yang tidak begitu memberangsangkan. Tambah menggembirakan lagi, kemenangan ini amat bermakna kerana kami menerima hadiah dan dikalungkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor sendiri.
“Secara keseluruhan, perlumbaan akhir tadi agak memihak kepada saya kerana dapat bermula dengan baik dan berada di kedudukan hadapan dari awal perlumbaan. Beberapa insiden melibatkan pelumba di belakang turut membantu saya untuk menjarakkan diri dari pencabar lain,” jelas Affendi yang kini menghuni tangga kelima keseluruhan dengan 33 mata.
Gelaran naib juara pula membantu Fazli untuk merampas takhta pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 48 mata manakala Elly Idzlianizar Ilias (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) di tangga kedua dengan 42 mata. Muhaimin di kedudukan ketiga dengan 41 mata.
Sementara itu, beraksi di halaman sendiri menjadi tonik penting buat Kasma Daniel Kasmayudin pada perlumbaan minggu ini apabila berjaya menjuarai perlumbaan CP115 dengan masa keseluruhan 13’51.526s.
Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor yang berasal dari Skudai, Johor itu menewaskan Mohd Fareez Afeez dari pasukan Felda PB Racing yang berjaya menaiki podium buat pertama kali sejak mula beraksi pada musim 2014. Anak jati Felda Bukit Besar, Kulai, Johor itu menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13’55.407s manakala pelumba M Seki Liberty Honda, Mohd Syafiq Rosli ketiga 13’57.246s.
Kemenangan itu kembali melonjakkan Kasma Daniel ke tangga kedua keseluruhan dengan 45 mata, hanya lima mata di belakang pendahulu, Tengku Amirul Haffirudin yang gagal menamatkan perlumbaan kali ini namun masih kekal mendahului kedudukan dengan 50 mata. Fareez naik ke tangga ketiga dengan 29 mata.
“Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan terutama pengurus, Yong Yin Hoe kerana menyediakan jentera yang sangat sempurna untuk saya pada minggu ini. Saya berjaya mencatat masa terpantas dalam kesemua sesi latihan sehingga ke perlumbaan akhir. Beraksi di halaman sendiri juga membakar semangat saya untuk mencipta kejayaan.”
Dalam saingan Wira, Mohd Harith Farhan Baharin terus menjarakkan diri di kedudukan teratas setelah berjaya meraih kemenangan kedua pada musim ini untuk menjadikan podium ketiga berturut-turut dalam tiga pusingan.
Pelumba Kozi Yam Honda Racing itu melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 11’14.722s menewaskan Mohd Qhuwarismi Mohd Nasir di kedudukan kedua yang merupakan podium pertama untuk dirinya dan pasukan Weststar Motorsport dengan masa 11’17.259s. Mohd Irfan Rosnizam (Felda AFB Tech Cardinals Racing) ketiga, 11’17.699s.
“Saya berterima kasih kepada pasukan, keluarga dan rakan-rakan serta sangat bersyukur di atas kemenangan ini. Beraksi di litar baru ini memberi banyak kelebihan kepada kami kerana kami mempunyai jentera yang hebat di sini. Walaupun saingan agak sengit, saya dapat mengekalkan aksi konsisten sepanjang dua hari berlumba di Muar ini,” jelas Harith.
Dengan dua kemenangan, Harith kini mengumpul 70 mata diikuti Saiful Izman Ahmad Zamani (Felda AFB Tech Cardinals Racing) kedua dengan 45 mata dan Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Espada William Racing) ketiga, 34 mata.
Keputusan
CP130
Final
1.Affendi Rosli (Yamaha) 16’08.555s 2.Ahmad Fazli Sham (Yamaha) 16’08.768s 3.Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha) 16’17.087s 4.Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 16’19.614s 5.Mohd Fitri Ashraf Razali (Yamaha) 16’22.929s
Kedudukan Keseluruhan
1.Ahmad Fazli Sham (Yamaha) 48 mata 2.Elly Idzlianizar Ilias (Honda) 42 mata 3.Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha) 41 mata 4.Zamri Baba (Honda) 40 mata 5.Affendi Rosli (Yamaha) 33 mata
Anugerah Berpasukan
1.PETRONAS Yamaha Maju Motor 96 mata 2.Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 76 mata 3.PETRONAS Yamaha CKJ 59 mata 4.Yamalube AHM 42 mata 5.Motul Yamaha YY Pang 40 mata
CP115
Final
1.Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha) 13’51.526s 2.Fareez Afeez (Yamaha) 13’55.407s 3.Syafiq Rosli (Honda) 13’57.246s 4.Fakhrusy Syakirin Rostam (Honda) 14’01.300s 5.Emir Firdaus Hasan (Yamaha) 14’01.568s
Kedudukan Keseluruhan
1.Tengku Amirul Haffiruddin (Yamaha) 50 mata 2.Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha) 45 mata 3.Fareez Afeez (Yamaha) 29 mata 4.Izzat Zaidi Salehan (Yamaha) 29 mata 5.Ahmad Syukran Aizat (Yamaha) 26 mata
Anugerah Berpasukan
1.Motul Yamaha Maju Motor 79 mata 2.Felda PB Racing A 49 mata 3.PETRONAS Yamaha Maju Motor 45 mata 4.M Seki Liberty Honda 40 mata 5.PETRONAS Yamaha CKJ 37 mata
WIRA
Final
1.Harith Farhan Baharin (Honda) 11’14.722s 2.Qhuwarismi Mohd Nasir (Yamaha) 11’17.259s 3.Irfan Rosnizam (Yamaha) 11’17.699s 4.Amirul Hakim Mohd Rizal (Yamaha) 11’17.888s 5.Nazirul Izzat Bahauddin (Yamaha) 11’27.600s
Kedudukan Keseluruhan
1.Harith Farhan Baharin (Honda) 70 mata 2.Saiful Izman Ahmad Zamani (Yamaha) 45 mata 3.Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha) 34 mata 4.Qhuwarismi Mohd Nasir (Yamaha) 33 mata 5.Nazirul Izzat Bahauddin (Yamaha) 27 mata. – MYNEWSHUB.cc