AHMAD Afif Amran kembali menemui sentuhan apabila berjaya mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2015 yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, hari ini.
Pelumba PETRONAS Yamaha CKJ itu mencatat masa terbaik 53.917s, 0.588s di hadapan Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) yang mencatat masa 54.505s. Rakan sepasukan Afif, Mohd Fitri Ashraff Razali mencatat masa ketiga terpantas dengan masa 54.506s.
Prestasi pemenang tempat ketiga keseluruhan musim 2014 itu agak tidak menentu pada peringkat awal musim ini apabila gagal melayakkan diri ke peringkat Superpole dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 pada pusingan pembukaan di Temerloh sebelum memperbaiki kedudukan dengan mencatat masa keenam terpantas pada sesi kelayakan di Batu Kawan.
Namun, agak malang apabila Afif gagal menamatkan perlumbaan di Batu Kawan dan kini sekadar berada di kedudukan ke-18 dalam senarai keseluruhan dengan hanya mengumpul empat mata.
“Saya mahu bangkit mengejar podium pada perlumbaan minggu ini. Saya tidak boleh tercicir banyak mata lagi seandainya mahu bersaing menduduki kelompok pelumba teratas,” jelas Afif.
“Saingan minggu ini memberikan sedikit kelebihan kepada saya kerana selain faktor jentera yang semakin baik, berlumba di litar baru juga menjadikan peluang lebih terbuka kepada mana-mana pelumba. Siapa yang cepat menguasai litar, dia mempunyai kelebihan ke atas pencabar lain. Tambah pula saya sukakan bentuk litar ini cuma perlu lebih berhati-hati kerana permukaan litar yang sedikit licin dan juga sempit,” jelas Afif lagi.
Mengulas tentang prestasi sepanjang dua pusingan lepas, Afif berkata, “Keadaan jentera tidak begitu baik kerana kami gagal menemui pelarasan yang dikehendaki. malah jurutera pasukan pula perlu menyiapkan jumlah jentera yang agak banyak kerana berada di dalam pasukan ‘factory’ seperti ini, selain CP130, Yamaha turut mempunyai pelumba di dalam kategori CP115 dan Wira.
“Hanya pada pusingan kali ini kami berjaya menyiapkan jentera pada prestasi yang sepatutnya dan mudah-mudahan jurutera dapat meningkatkan lagi keupayaan pada sesi Superpole dan perlumbaan akhir nanti,” jelas Afif.
Sementara itu, dalam kategori CP115, pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor, Kasma Danniel Kasmayudin mempamerkan aksi memukau apabila mencatat masa terpantas 54.551s, catatan yang mampu meletakkan di kelompok lima pelumba terbaik yang beraksi dalam kategori CP130.
Kasma muncul pelumba tunggal CP115 dengan catatan di bawah 55s manakala Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang) muncul pelumba kedua terpantas dengan masa 55.152s manakala Ahmad Syukran Aizat ketiga, 55.491s.
Dalam saingan Wira, Mohd Qhuwarismi Mohd Nasir (Weststar Motorsport) muncul pelumba terpantas dengan catatan masa 56.331s diikuti Amirul Hakim Mohd Rizal (Espada William Racing) dengan masa 56.667s dan Mohd Shafiq Ezzariq (Kozi Yam Honda Racing) ketiga, 56.881s.
Keputusan Ujian Masa
CP130
1.Ahmad Afif Amran (Yamaha) 53.917s 2.Norizman Ismail (Honda) 54.505s 3.Mohd Fitri Ashraf Razali (Yamaha) 54.506s 4.Zamri Baba (Honda) 54.539s 5.Azhar Abdul Jalil (Yamaha) 54.774s
CP115
1.Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha) 54.551s 2.Tengku Amirul Haffiruddin (Yamaha) 55.152s 3.Ahmad Syukran Aizat (Yamaha) 55.491s 4.Izzat Zaidi Salehan (Yamaha) 55.620s 5.Azroy Hakeem Anuar (Honda) 55.762s
WIRA
1.Qhuwarismi Mohd Nasir (Yamaha) 56.331s 2.Amirul Hakim Mohd Rizal (Yamaha) 56.667s 3.Shafiq Ezzariq (Honda) 56.881s 4.Akid Aziz (Yamaha) 56.883s 5.Isa Josri (Yamaha) 56.985s. – MYNEWSHUB.cc