GEORGETOWN – AirAsia X, penerbangan jarak jauh Kumpulan AirAsia, kini menimbang untuk memperkenalkan laluan baharu serta meningkatkan jaringannya bagi menjana keuntungan tahun ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Bhd, Benyamin Ismail berkata syarikat itu berkemungkinan memulakan penerbangan ke Hawaii tahun ini selain memperluaskan jaringannya ke Jepun serta Asia Barat.
“Ada beberapa laluan baharu yang kami sedang pertimbangkan dan antara yang utama adalah Hawaii. Kami telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat (AS).
“Bagi saya, apa yang paling penting sekarang ialah kami perlukan sokongan pihak Malaysia Airports kerana pihak berkuasa di AS perlu mengaudit lapangan terbang itu (KLIA2). Sebaik mendapat kelulusan, kita menyasarkan pelancarannya pada November,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran acara AirAsia Travel Fair 2015 oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Benyamin berkata AirAsia X akan turut memperluaskan rangkaiannya menerusi pelancaran satu lagi destinasi di Jepun serta di Asia Barat.
Ketika ini, AirAsia X menawarkan penerbangan ke empat destinasi di Jepun iaitu Osaka-Kansai, Sapporo-Shin-Chitose, Tokyo-Haneda dan Tokyo-Narita manakala di Asia Barat ia cuma ke Jeddah.
“Laluan penerbangan baharu ini akan memberi sumbangan dari segi keuntungan, tetapi apa yang lebih utama adalah memastikan kesemua laluan kami mampu menjana pendapatan. Sehubungan itu, sejak tiga atau empat bulan lalu, usaha kami menumpukan cara mengurangkan kapasiti bagi meningkatkan aspek muatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar berkata syarikat penerbangan itu sedang mengkaji kemungkinan meneroka segmen jaringan antarabangsa bagi menambah lebih banyak penerbangan dan laluan baharu, terutamanya ke China.
“Inilah tumpuan kami bagi melihat cara untuk meningkatkan jaringan antarabangsa ke semua hab sekunder serta meletakkan Pulau Pinang antara hab utama Kumpulan AirAsia,” katanya.
Bagi prospek syarikat itu tahun ini, Aireen berkata unjurannya adalah positif biarpun berdepan cabaran berikutan kelebihan AirAsia yang kompetitif serta jalinan operasinya di sekitar negara ASEAN. – BERNAMA