NAMPAKNYA, mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib atau Mat Taib tidak keseorangan dalam menyatakan kekecewaannya dengan kelemahan dalam pentadbiran PAS.
Pelantun lagu Janji Manismu, Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin turut meluahkan pandangan serupa setelah melihat senario mutakhir dalam parti Islam itu.
Senada dengan Mat Taib, Aishah berkata, sikap pemimpin dalam PAS tidak lagi mewakili slogan ‘PAS For All’ yang dilaungkan mereka sebelum ini.
BACA: Mat Taib ‘Dah Tak Minat Sangat’ Dengan PAS, Bakal Keluar Parti?
Malah, dia turut tidak bersetuju dengan tindakan pemimpin tertinggi PAS yang menggunakan bahasa kesat dalam menyatakan pandangan.
“Sebagai orang baru, saya terkejut dengan penggunaan bahasa setengah-setengah orang yang dipanggil faqih dalam agama…rasanya dalam industri orang yang jahil pun masih ada sikap toleransi dan hormat. Sekarang maki hamunnya…,” ujarnya seperti dalam laporan sebuah blog pro pembangkang.
Selain itu, Aishah turut meluahkan kekecewaannya dengan situasi yang mana pemimpin Islam dalam PAS yang saling bergaduh sesama sendiri.
“Saya tak kecewa dengan perjuangan Islam tetapi saya kecewa dengan apa yang berlaku dalam PAS yang kononnya perjuangan Islam.
“Ini ke akhlak yang nak kita tunjukkan pada non muslims bila sesama jemaah pun berantakkan…respect has to be earned not commanded from…”
Minggu lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan telah menggunakan perkataan ‘tolol’ dalam satu program dialog ‘Bicara Harakah’.
Perkataan tersebut digunakannya bagi mewakili pihak yang menuduhnya mahu berpecah dan tidak mahu menghadiri mesyuarat bersama Pakatan Rakyat.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: ALI, AHMAD & ABU
PAS Akan Selamat Jika Golongan Tolol Keluar – Abdul Hadi Awang