KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta kerajaan Malaysia memberi tekanan kepada kerajaan Mesir supaya menarik balik hukuman mati ke atas bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi.
Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, AMK turut meminta kerajaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN mendesak kerajaan Mesir menarik balik hukuman serupa ke atas pemimpin Kanan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie dan ulama tersohor, Dr. Yusuf Al-Qaradawi.
“Seperti yang dinyatakan oleh Amnesty International di dalam kes Presiden Morsi, menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohamed Morsi selepas perbicaraan yang tidak adil hanya memperlekehkan hak asasi manusia.
“Saya juga bersetuju dengan kutukan keras Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan, yang menyatakan Mesir sudah berubah menjadi Mesir zaman purba,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Nik Nazmi kerajaan Malaysia memainkan peranan ke atas usaha menyelamatkan Mohamed Morsi dan 100 yang lain daripada hukuman mati tersebut dan menggalakkan usaha ke arah pendamaian politik yang berkesan.
Mahkamah Mesir baru-baru ini menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi dan lebih 100 tahanan kerana melarikan diri dari sebuah penjara ketika kebangkitan rakyat pada tahun 2011. – mynewshub.cc
https://www.youtube.com/watch?v=o_W27Qoyjrg