PUTRAJAYA – Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-42 Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam di Kuwait, bermula Rabu.
Menurut kenyataan Wisma Putra pada Selasa, mesyuarat dua hari itu akan menjadi wadah bagi negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk membincangkan hala tuju dalam menyelesaikan isu keganasan, keganasan pelampau dan Islamofobia.
Dalam mesyuarat itu, Anifah akan menyampaikan kenyataan negara, yang antara lain menegaskan pendirian Malaysia dalam isu Palestin, di samping memberi perhatian kepada isu yang berkaitan dengan tema mesyuarat berkenaan.
Kementerian itu menyebut Anifah akan turut bertemu rakan sejawatannya untuk membincangkan isu membabitkan kepentingan bersama.
Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat itu, bertemakan ‘Wawasan Bersama untuk Memperkukuhkan Toleransi dan Menolak Keganasan’ membuktikan komitmen Malaysia terhadap usaha OIC dalam menangani isu dan cabaran semasa yang kini mendepani umat Islam.
Malaysia menjadi anggota OIC sejak penubuhannya pada 1969.
OIC bermatlamat melindungi kepentingan dan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia. Penubuhannya juga bertujuan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, sosial, budaya dan sains. – BERNAMA