Paterson (Amerika Syarikat) – Tembelang seorang wanita yang curang akhirnya terbongkar selepas bayi kembar yang dilahirkannya disahkan berlainan bapa.
Perkara itu terbongkar selepas wanita itu yang hanya dikenali sebagai TM cuba mendaftarkan teman lelakinya sebagai bapa kepada bayi kembarnya.
Bagaimanapun, ujian DNA yang dilakukan mendapati kekasihnya itu hanya bapa kepada seorang daripada bayi kembar perempuan berkenaan.
Wanita itu akhirnya mengaku pernah meniduri lelaki lain seminggu selepas dia membuat hubungan seks dengan teman lelakinya.
Selepas perkara itu terbongkar, TM kemudiannya memfailkan satu kes di mahkamah, di sini bagi menuntut lelaki berkenaan membayar wang penjagaan kepada bayi itu.
Hakim di Mahkamah Daerah Passaic, Sohail Mohammad pada minggu lalu memutuskan bahawa kedua-dua lelaki berkenaan perlu membayar wang penjagaan untuk bayi masing-masing.
Kedua-dua lelaki itu perlu membayar AS$28 (RM100) seminggu untuk anak kandung mereka.
Bayi kembar berlainan bapa sangat jarang berlaku dan ia terjadi apabila seorang wanita membuat hubungan seks dengan dua lelaki dalam minggu yang sama.
Keadaan yang dikenali sebagai heteropaternal superfecundation itu berlaku apabila wanita mengeluarkan dua telur pada satu masa dan setiap satunya disenyawakan oleh sperma lelaki berbeza.
Heteropaternal superfecundation adalah perkara biasa pada beberapa spesies haiwan tetapi sangat jarang berlaku pada manusia. – Agensi