Wednesday, November 27, 2024

Creating liberating content

Suspek Dadah Bukan Petugas...

PETALING JAYA : Dakwaan yang tular dalam media sosial berhubung rampasan empat beg...

‘So Sweet’: Wanita Kahwin...

Apabila Lauren Adkins bertentang mata dengan watak Edward Cullen daripada sekuel Twilight, ia...

Pampers Anak Penuh Najis...

SUDAHKAH anda membaca mengenai 'Mossy Forest' atau 'Hutan Berlumut' di Gunung Brinchang, Pahang yang terkenal...

Taktik Baru Sindiket Judi...

ALOR SETAR - Polis membongkar kegiatan sebuah premis kedai yang berselindung di sebalik...

Belia Cipta Cara Strim Langsung Dengan Kos Murah Dan Mudah

KUALA LUMPUR – Hujung minggu lazimnya dihabiskan untuk bersantai dengan keluarga.

Namun bagi Muhammad Akmal Puteh, masa yang terluang digunakannya untuk “berdakwah”, cuma cara beliau berdakwah adalah lain dari yang lain.

Bergerak dari masjid ke masjid, beliau merakam serta menstrim secara langsung kuliah dan ceramah ke halaman YouTubenya yang diberi nama Laman an-Nur yang telah beroperasi sejak dua tahun setengah.

Bagi Muhammad Akmal sudah menjadi rutin untuk berada di Melaka bagi merakam kuliah subuh dan pada malam hari yang sama beliau sudah berada di masjid di Bangi, Selangor untuk strim langsung seterusnya.

Usaha murni beliau ini memberi peluang kepada mereka yang tinggal jauh untuk turut sama menonton penceramah kesukaan mereka secara langsung dengan percuma.

Kalau hendak diikutkan, menghadiri program ceramah agama semakin menjadi budaya atau ikutan bagi sesetengah orang Islam di negara ini.

Dalam masa yang sama semakin ramai juga penceramah Islam mendapat tempat di hati umat Islam di negara ini termasuk penceramah dari luar negara.

Ramai yang sanggup menempuh perjalanan beratus-ratus kilometer jauhnya walau sekadar menghadiri penyampaian dua jam oleh penceramah kesukaan mereka.

Meskipun teknologi semakin canggih, namun untuk menstrim secara langsung, ia masih mengambil masa daripada segi pemasangan peralatan.

Muhammad Akmal biasanya memasang serentak dua atau tiga kamera video untuk merakam sudut yang berlainan supaya ada kepelbagaian dalam siaran.

Beliau harus berada di lokasi sepanjang tempoh siaran di samping memantau maklumat balas langsung mengenai kualiti strim daripada penonton. Setelah selesai majlis, beliau perlu mengambil masa untuk menyimpan segala peralatan pula.

Walaupun mengambil sebahagian besar masa rehat hujung minggunya, pengurus sumber manusia berusia 41 tahun itu dengan rela hati melakukannya kerana merasakan ia adalah sebahagian pelaburannya untuk “saham akhirat”.

PIMASJID

Apa yang dibuat oleh Muhammad Akmal telah memberi motivasi kepada ramai yang lain walaupun tidak semua dapat meluangkan sekian banyak masa dan tenaga seperti yang dilakukannya.

Antaranya, usahawan tekno, Muhammad Adrian Wong yang mendapat ilham untuk mengautomasikan strim secara langsung.

Beliau bersama sekumpulan pengaturcara komputer telah merumuskan satu kaedah merakam dan menyalurkan ceramah serta kuliah di masjid secara langsung dari jarak jauh pada kos yang amat rendah, berbanding cara strim langsung yang biasa.

Segalanya dijalankan dengan mengguna sebuah komputer sebesar saiz kad kredit yang dipanggil “Raspberry Pi” dan projek mereka dinamakan “PiMasjid”.

“Akmal biasanya membawa tiga kamera video dan laptop sendiri di samping menggunakan wangnya untuk membiayai akses internet bulanan untuk menstrim video.

Beliau menghasilkan tiga atau empat video setiap hujung minggu. Sekiranya spektrum strim lebar jalur tidak mencukupi, beliau perlu meluangkan masa untuk penyuntingan pasca produksi pula.

“Apa yang kami buat ialah mencipta cara alternatif untuk menyokong usaha beliau,” kata usahawan berusia 36 tahun ini yang lebih senang dipanggil Adrian.

“Kami” yang dimaksudkannya ialah sekumpulan pengaturcara komputer yang memberi reaksi kepada perkongsian Adrian sewaktu perjumpaan JomWeb.

JomWeb adalah komuniti pengaturcara Melayu yang mempunyai lebih 9,000 anggota.

HACKATHON DAN QIAM

Meskipun Adrian yang mencetuskan buah fikiran itu tetapi anggota JomWeb, Mohd Salehuddin Md Yusof menawarkan diri untuk melaksanakan projek itu.

Pengurus latihan IT berusia 31 tahun itu menjadi pengurus projek dan selepas itu ramai yang menawarkan diri untuk turut serta.

Kumpulan ini memulakan projek mereka dengan menganjurkan program yang dipanggil “hackathon” dan “qiyammullail” PiMasjid di Masjid Universiti Multimedia di Cyberjaya, Selangor, pada 21 Mac lepas.

Sepanjang program 12 jam yang bermula pukul 9.00 malam itu, mereka bukan sahaja menulis kod pengaturcaraan tetapi juga membincangkan isu agama Islam, isu sosial selain solat berjemaah.

Sesi hackathon berikutnya yang diadakan pada 4 dan 25 April menyaksikan lebih ramai kehadiran dari pelbagai kepakaran yang diperlukan.

PERCUMA UNTUK SEMUA


Menurut Mohd Sallehuddin, mereka yang terlibat mengusahakan projek PiMasjid bekerja atas dasar sukarela dan mereka lakukannya secara ikhlas.

Projek itu menggunakan perisian sumber terbuka “open-source software’ iaitu perisian percuma yang boleh diakses dan diubahsuai oleh sesiapa sahaja secara sah.

“Kami mahu kod itu boleh diperoleh secara percuma untuk dimuatturun dan pengedaran supaya sesiapa sahaja boleh membeli Raspberry Pi, masukkan kod dan menstrim ceramah secara langsung dari masjid di kawasan mereka, ” katanya.

Raspberry Pi boleh dibeli dengan harga serendah RM100. Projek PiMasjid menggunakan Raspberry Pi 2, versi terkini dengan pemproses yang lebih mantap dengan harga yang lebih sedikit berbanding versi asal.

Mikrofon yang berkualiti baik, kad audio dan kamera kemudiannya akan disambung ke komputer untuk melengkapkan pemasangannya. Produk terbaru ini dijangka bersaiz lebih kecil dari pek makanan polisterin.

Menurut Mohd Sallehuddin, unit ujian PiMasjid yang digunakan kumpulannya berharga sekitar RM350.

Beliau bagaimanapun menganggarkan produk sebenar dijangka berharga lebih mahal kerana menggunakan mikrofon dan kamera yang mampu menghasilkan audiovisual yang lebih jelas.

AUTOMASI

Sementara itu, Adrian berkata unit PiMasjid itu akan dapat diaktifkan menggunakan SMS.

“Sesiapa sahaja yang telah diberi kuasa untuk memasang unit itu boleh melakukannya dengan menghantar SMS yang mengandungi tajuk ceramah dan nama penceramah kepada unit itu.

“Kita tidak perlu hadir pun di lokasi itu. Setelah identiti penghantar SMS dan maklumat yang dihantar disahkan, ianya akan mula menstrim di YouTube, bersama maklumat mengenai penceramah dan topik yang disampaikan,” jelasnya.

Saiz kecil unit itu juga menjadikannya mudah alih dan boleh diletakkan di mana-mana ruang atau dibawa bersama oleh penceramah ke mana sahaja beliau pergi.

BAGI YANG INGIN MENYUMBANG

Projek ini masih dalam proses penambahbaikan, dan lebih banyak sesi hackathon bakal diadakan.

Mohd Sallehuddin berkata sesiapa yang ingin turut serta dalam projek itu tetapi tiada kepakaran pengaturcaraan komputer boleh membantu dengan cara lain.

“Kami sedang mencari orang untuk menaja kos unit peralatan ini untuk masjid-masjid di samping individu berkepakaran dalam reka bentuk produk untuk merekabentuk kotak bagi unit itu.

“Kami juga memerlukan mereka yang mempunyai kemahiran bahasa untuk mentranskripsikan serta menterjemah ceramah atau khutbah yang dirakam,” katanya.

Masjid yang tidak mempunyai akses WiFi juga mungkin memerlukan tajaan untuk akses internet mudah alih.

Menurut pasukan PiMasjid, kos menstrim audio dan video mungkin melibatkan kosn kira-kira RM10 sejam.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau menyertai program berikutnya boleh ke laman Facebook Pi Masjid di www.facebook.com/PigiMasjid.

SISIPAN

Pasukan PiMasjid kini sedang berusaha untuk membolehkan unit perkakas PiMasjid berfungsi menggunakan air hujan yang disimpan atau lebihan air hujan atau lebihan air wuduk.

Buat masa ini unit itu hanya menggunakan kuasa 5 volt dan boleh dicaj menggunakan pengecaj microUSB, seperti yang digunakan untuk mengecaj telefon pintar.

Pada peringkat ini, pasukan itu sedang memanfaatkan lebihan air wuduk yang digunakan jemaah sebelum solat Jumaat untuk menjana sistem mikro kuasa hidro itu.

Hackathon adalah satu acara di mana individu berkepakaran dalam pelbagai aspek perisian dan perkakasan komputer berkumpul untuk bekerjasama secara intensif melaksanakan sesuatu projek.

Projek PiMasjid menggunakan perisian sumber terbuka yang bermakna ia boleh diguna secara percuma, diubah dan dikongsi oleh sesiapa sahaja.

Raspberry Pi pula adalah perkakasan sumber terbuka. – BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan:
  • Belia

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori