BUENOS AIRES: Bidan dan aktivis Argentina mengadakan bantahan luar biasa semalam, dengan berpiket separuh bogel di hadapan Kementerian Kesihatan negara itu bagi menuntut hak untuk bersalin di rumah.
Kira-kira 20 penunjuk perasaan ‘gigih’ mendedahkan dada mereka yang dicat dengan warna terang di sebatang jalan yang sibuk di bandaraya tersebut, sambil memegang papan tanda menggesa menteri kesihatan, Daniel Gollan melindungi “hak untuk memilih di mana dan bagaimana mahu melahirkan bayi”.
Bidan-bidan yang menyertai  protes itu berkata, mereka telah dikecualikan daripada perbincangan mengenai peraturan-peraturan baru bagi profesion mereka, sekaligus mencetuskan kerisauan jika undang-undang baru tersebut akan menghadkan aktiviti mereka dan mengharamkan kelahiran di rumah.
Peserta-peserta demonstrasi separuh bogel itu turut menconteng mesej-mesej tertentu pada bahagian belakang tubuh mereka.
Sambil mendukung bayinya yang berusia empat bulan, Eugenia Gimenez, 29, mundar-mandir di kawasan piket dengan tubuhnya ditulis “Saya melahirkan bayi ini di rumah”.
Menurut seorang doktor Ana Paula Fagioli, beliau menyokong penuh protes tersebut kerana beliau menganggap hospital “menjadi dewan penyeksaan untuk wanita hamil yang menghabiskan masa berjam-jam disambungkan kepada tiub dan di bawah pengaruh ubat untuk mendorong kelahiran”.
Kementerian Kesihatan Argentina berkata,mereka sedang berusaha untuk menggubal peraturan yang akan memastikan prosedur kelahiran di rumah selamat untuk wanita dan bayi mereka. – AFP