MEXICO – Kematian seorang budak lelaki berusia enam tahun, Christopher Raymundo Marquez, telah mengejutkan Mexico.
Apa tidaknya, Christopher mati akibat dibunuh dengan kejam oleh lima budak yang lain yang hanya berusia 12 hingga 15 tahun, ketika mereka berpura-pura menculiknya.
Ketika kejadian, mereka bermain di satu kawasan terbiar berhampiran rumah Christopher.
Salah seorang daripada budak berkenaan kemudiannya mencadangkan supaya mereka bermain penculikan dengan kaki dan tangan Christopher diikat sebelum dia dipukul.
Selain itu, mereka turut membaling batu dan melemaskannya dengan menggunakan kayu yang ditekan di leher Christopher hingga menyebabkan budak malang itu meninggal dunia.
Selepas Christopher meninggal dunia, salah seorang daripada budak itu telah menikam belakangnya dan kemudian mereka menanam mayatnya.
Mayat Christopher hanya ditemui selepas dua hari dia dilaporkan hilang. Lebih menyakitkan hati adalah budak-budak yang membunuhnya itu turut terlibat dalam operasi mencarinya yang dilancarkan oleh polis dan penduduk kampung.
Namun hanya dua orang yang berdepan pertuduhan jenayah manakala tiga lagi tidak boleh dibicarakan disebabkan faktor usia, iaitu di bawah 14 tahun.
“Saya mahukan keadilan, jika pihak berkuasa tidak boleh menghukum mereka maka kami akan pastikan mereka menerima hukuman itu dengan tangan kami sendiri,” kata ibu Christopher iaitu Tania.
– MYNEWSHUB.CC
https://youtu.be/eax8vqm5HEY