KUALA LUMPUR – Buku kumpulan esei ‘His Royal Highness Sultan Nazrin Shah Reflections and Recollections’ merupakan satu penegasan pada kepentingan nilai integriti, yang tidak memberikan sebarang imuniti kepada perbuatan salah laku, salah guna kuasa dan korupsi.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah esei yang dihasilkan itu mengandungi analisis berkaitan relevansi institusi Raja dalam era moden.
“Dalam persekitaran demokrasi yang menuntut kepada amalan ketelusan dan keterbukaan, menegaskan pentingnya sifat integriti yang tidak memberikan sebarang imuniti kepada perbuatan salah laku, salah guna kuasa dan korupsi oleh sesiapa sekalipun,” titah baginda pada majlis pelancaran buku tersebut di sini hari ini.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan buku terbitan RNS Publications itu.
Buku setebal 265 halaman itu dihasilkan oleh 28 penulis, terdiri daripada kenalan peribadi Sultan Nazrin sempena pertabalan baginda sebagai Sultan Perak ke-35 pada 6 Mei ini.
Antara penulis buku termasuk bekas wartawan terkemuka dan ahli politik Tan Seri Abdullah Ahmad dan aktivitis sosial Dr Chandra Muzzafar.
“Secara halus dan terhormat para penulis dalam tulisan masing-masing, seiring dengan kata-kata pengiktirafan mereka, mengharapkan Paduka Adinda (Sultan Perak) dapat memenuhi peranan untuk menyuntik nafas dinamik kepada institusi Raja agar institusi ini diterima sebagai institusi yang kekal relevan lagi berfungsi dalam era modenisasi yang berteraskan amalan demokrasi,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah ulasan dan saranan daripada buku tersebut akan dijadikan ‘cermin’ untuk melihat ketidaksempurnaan yang masih ada, baik pada peribadi baginda mahupun institusi Raja.
“Harapan yang disuarakan amat tinggi, amanah yang diletakkan amat berat. Ia tidak mungkin dapat Paduka Adinda penuhi secara bersendirian.
“Paduka Adinda percaya dengan perkenan dan peranan bersama Paduka Kekanda (Sultan Selangor) yang jauh lebih berpengalaman dan tinggi hikmahnya, pelbagai harapan dan hasrat yang dirintis itu boleh diusahakan secara kolektif bersama Yang Maha Mulia Raja-raja di negara ini,” titah baginda.
Pada penghujung titah ucapan, Sultan Nazrin dalam nada sebak meminta hadirin membacakan surah al-Fatihah kepada Almarhum ayahanda baginda Sultan Azlan Shah dan Sultan-Sultan terdahulu, para keluarga dan para guru.
Turut berangkat ke majlis berkenaan, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan bonda Sultan Nazrin, Tuanku Bainun. – BERNAMA