PETALING JAYA – Memiliki ketinggian budi, berilmu pengetahuan dan sentiasa menunjukkan buah fikiran bernas dalam setiap titah perintah, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sentiasa meletakkan ilmu dan buku sebagai harta yang amat bernilai dalam kehidupan baginda.
“Ilmu itu sangat luas dan akan sentiasa ada yang baru, hanya dengan mencintai ilmu dan buku membolehkan kita mengejar perkembangan dunia (keep up to date)…malah dengan membaca menjadikan kita bertambah pengetahuan seterusnya mampu membentuk etika diri yang hebat,” titah baginda.
Sultan Nazrin Shah bertitah demikian semasa pertemuan santai bersama pemberita di sebuah perpustakaan peribadi milik baginda di Petaling Jaya semalam (22 April).
Perpustakaan peribadi itu dengan koleksi lebih kurang 30,000 buku merupakan hasil ilham baginda sendiri dan ia juga menjadi tempat kegemaran baginda dalam meluangkan masa lapangnya.
BUKU SENTIASA DI SANUBARI SULTAN NAZRIN
Sultan Nazrin Shah bertitah kecintaan terhadap buku merupakan nilai yang perlu ditanam dalam jiwa seseorang bermula sejak kecil sebagai benih ilmu pengetahuan.
“Setiap kali pergi keluar, perkara pertama yang saya cari adalah kedai buku, saya pernah membeli buku sehingga penuh sebuah troli, malah saya mampu habiskan sepanjang hari membaca buku, dari pagi hingga malam.
“Anak-anak saya juga menunjukkan minat yang sama, setiap malam sebelum tidur saya meluangkan masa membacakan buku kepada mereka, jika ada urusan di luar saya tetap cuba balik pada waktunya dan luangkan masa membaca bersama,” titah baginda.
Baginda bertitah membaca dan mengumpul buku telah sebati dalam jiwa baginda sejak kecil lagi dan ini yang mendorong baginda merialisasikan sebuah perpustakaan bagi menempatkan koleksi bacaan baginda.
“Disebabkan buku saya terlalu banyak ia selalu bersepah di merata tempat, apabila saya perlukan sukar untuk dicari. Saya kata pada arkitek saya bukan mahukan perpustakaan dalam rumah tetapi rumah dalam perpustakaan (not a library in the house but a house in the library)..begitulah konsepnya,” titah baginda.
PERPUSTAKAAN PERIBADI SULTAN NAZRIN
Perpustakaan peribadi Sultan Nazrin yang berkonsep moden kontemporari itu memuatkan koleksi buku pelbagai genre dan antara bacaan kegemaran baginda adalah buku ekonomi, falsafah, sejarah dan politik.
Baginda bertitah walaupun teknologi moden berkembang pesat dengan buku boleh dibaca atas skrin, buku mempunyai nilainya tersendiri dan merupakan pilihan terbaik untuk diberi sebagai hadiah.
“Mungkin saya old fashion, pada saya buku lebih mesra, boleh dipegang, boleh dibelek setiap helaian, boleh ditulis nota pada permukaannya…zaman sekarang ramai berminat membaca on screen namun pada saya buku lebih istimewa.
“Buku merupakan hadiah terbaik untuk disampaikan (Book is always the best gift) dan apabila saya merasakan sesebuah buku itu bagus kandungannya saya akan membelinya lebih daripada sebuah untuk dihadiahkan kepada orang lain,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah rakyat perlu sedar akan peranan sebuah buku dan kepentingan ilmu pengetahuan hendaklah terus disemai dalam diri seseorang dari awal lagi agar minat membaca itu sentiasa subur.
“Berusahalah mendisiplinkan diri untuk membaca beberapa jam setiap hari, lakukannya secara konsisten, pupuklah minat terhadap ilmu dengan cara yang menyeronokkan, gunakanlah apa sahaja medium bersesuaian asalkan tidak berhenti mencari ilmu,” titah baginda.
Antara kegemaran lain Sultan Nazrin ialah, mengumpul manuskrip lama, lukisan daripada pelukis tempatan serta menulis, baginda juga berhasrat membuka sebuah galeri foto peribadi di Kuala Kangsar atau di Ipoh, Perak. – BERNAMA