KUALA LUMPUR – Pemain wanita ketiga Malaysia, Delia Arnold, mencatatkan kejayaan kedua pada Kejohanan Terbuka Skuasy British 2015 di Airco Arena di Hull, London pada Rabu.
Beliau menewaskan pemain Hong Kong, Annie Au, dengan menghasilkan keputusan yang ‘terbaik’ buat dirinya dalam pusingan kedua itu dan menjadi pemain pertama mara ke suku akhir buat kali pertama.
Pemain ke-29 dunia itu bangkit daripada permainan hambar untuk menewaskan Annie 7-11, 11-8, 12-10 dan 11-9 dalam masa 53 minit.
“Saya amat gembira dapat memenangi perlawanan hari ini. Saya bertemu Annie minggu lepas dalam Asia (Kejohanan Individu Asia) dan perkara yang sama berlaku.
“Ini adalah antara kemenangan terbaik saya. Saya akan memberi perhatian sepenuhnya kepada setiap perlawanan,” kata Delia yang dipetik dalam laman web rasmi kejohanan itu http://allambritishopensquash.com.
Delia akan berdepan tugas sukar dalam pertemuan dengan pemain nombor dua dunia, Raneem El Welily Mesir pada Jumaat untuk menempa tempat separuh akhir.
Pemain pilihan kedua itu menewaskan rakan senegaranya, Yathreb Adel, 19, dengan catatan 11-5, 11-5 dan 12-10 dalam masa 29 minit.
Pemain nombor satu Malaysia dan pilihan utama kejohanan, Datuk Nicol Ann David, pula akan bertemu pemain England, Emma Beddoes, pada perlawanan pusingan kedua 7 malam waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia) Jumaat.
Nicol mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Tesni Evans dari Wales 11-2, 11-4, 7-11, 11-9 pada Selasa. – BERNAMA