KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam, selepas mengaku salah merompak seorang wanita.
Ahmad Naim Zaidi, 23, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merompak menggunakan senjata.
Dia mengaku salah merompak Yati Salleh, 40, dengan bersenjatakan besi panjang dan mengambil beg duit mengandungi telefon bimbit, tunai RM1,800 dan dokumen peribadi, dalam kejadian di sebuah kedai di simpang empat Kampung Bukit Guntung, Tepoh, jam 1.30 petang pada 8 Mei lalu.
Ahmad Naim dalam rayuannya memohon agar mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan perlu menanggung isteri dan anaknya yang masih kecil.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di kedainya, didatangi Ahmad Naim yang bersenjatakan besi panjang sebelum meminta mangsa menyerahkan barangan berharga dan mengambil beg duit mangsa yang mengandungi semua barang tersebut.
Sejurus Ahmad Naim beredar, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. – Sinar Harian Online
https://www.youtube.com/watch?v=9x0Gff-QgQc