KUANTAN – Dua beradik yang dipercayai terlibat dengan satu kes mencuri motosikal pada 8 Mei lepas ditahan selepas polis menyerbu rumah mereka di Kampung Batu 8, Jalan Gambang, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata, kedua-dua suspek yang berumur 35 dan 30 tahun itu ditahan pada 6 petang oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Jaya Gading.
“Ketika disoal siasat si abang mengaku mencuri sebuah motosikal model Yamaha Nouvo S pada 8 Mei lepas dan bercadang meminta adiknya memulangkan semula motosikal itu kepada mangsa yang tinggal di Taman Tas, di sini,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun hasil pemeriksaan terhadap motosikal yang ditemui di rumah mangsa mendapati, suspek telah mengubah nombor plat kenderaan itu kepada nombor pendaftaran palsu.
Katanya siasatan lanjut juga mendapati suspek yang berusia 35 tahun itu merupakan orang yang dikehendaki bagi membantu kes curi kenderaan mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang positif dadah dibawa ke Balai Polis Kuantan untuk siasatan lanjut. – BERNAMA