PELAKON jelita, Fathia Latiff melahirkan rasa bengangnya di laman sosial Instagram berkenaan tajuk artikel yang dikeluarkan di sebuah portal terkenal kerana menjatuhkan maruahnya.
Menggunakan tajuk “Darah Panas Papar Fathia Tanpa Seurat Benang?”, kandungan artikel tersebut menyatakan Fathia harus melakonkan babak yang memerlukannya tampil ‘bogel’ dalam filem terbaharu melalui kaedah tipu helah kamera.
Dalam pada itu pengarah filem Darah Panas Arjin Uppal dalam satu laporan disiarkan Murai.com tidak menafikan terdapat beberapa adegan panas membabitkan Fathia tetapi ianya tidaklah keterlaluan.
“Ada ketika saya terpaksa menghalau kru produksi untuk memberikan keselesaan Fathia melakonkan adegan panas yang diperlukan. Hanya tinggal saya, Fathia dan pengarah fotografi saja.
“Saya rasa adegan yang dilakukan tidaklah keterlaluan. Filem ini menceritakan seorang gadis kampung yang lari dari rumah mengejar cita-cita sebagai model, bagaimanapun terperangkap di lembah pelacuran,” kata pengarah itu.
Darah Panas dijangka menemui penonton 4 Jun ini. – MYNEWSHUB.CC