PELUMBA wanita, Siti Norafizah Mohamad bakal terlepas aksi Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia pada 4 hingga 7 Jun ini, sekaligus terlepas aksi pertama di litar luar negara.
Pelumba BikeArt Racing Kawasaki yang lebih dikenali sebagai Fifie itu beraksi dalam kelas Asia Production 250 (AP250) namun dinasihatkan oleh doktor agar tidak beraksi di Indonesia berikutan kecederaan kaki setelah terlibat dengan kemalangan sewaktu beraksi dalam perlumbaan akhir Pro-Am Cup Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Terengganu, Sabtu lepas.
Fifie mengalami patah kaki kiri dan terpaksa menjalani pembedahan yang memaksa pelumba berusia 19 tahun itu berehat selama enam minggu dan menyaksikan dia turut terlepas aksi Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix di Melaka pada 13 dan 14 Jun depan.
“Kemalangan dan kecederaan seperti ini merupakan sesuatu yang tidak dijangka dan boleh berlaku kepada mana-mana pelumba tidak kira bila dan bagaimana,” jelas Fifie. “Selepas insiden tersebut, saya dihantar ke hospital dengan segera sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur; mujurlah kecederaannya tidak seteruk yang disangka.”
Tambahnya, “Saya mahu beraksi di Indonesia namun doktor nasihatkan agar berehat dan memberi tumpuan untuk proses pemulihan terlebih dahulu. Meskipun agak kecewa kerana terlepas peluang beraksi di luar negara buat pertama kali, namun saya akur dengan keputusan doktor dan keputusan ini penting untuk saya juga. Lagipun, dengan keadaan seperti ini, sukar untuk saya beraksi dengan baik,” jelas Fifie.
“Meskipun begitu, saingan masih di peringkat awal dan kami masih mempunyai banyak baki perlumbaan yang perlu dilalui. saya percaya saya akan pulih dengan segera dan kembali beraksi dengan lebih baik setelah 100 peratus cergas nanti,” ujar Fifie tidak berputus asa. – Mynewshub.cc