Hati ibu mana yang tidak remuk redam apabila anak yang dikandung selama sembilan bulan sepuluh hari, meninggal dunia dalam keadaaan tragis.
Itulah gulana yang bertandang dalam perasaan Wan Zaleha Wan Mohamad, 46, apabila anak keempatnya, Mohd Nor Akram Zime, 16, maut selepas ditendang di bahagian leher, awal pagi kelmarin.
[Suspek Sebabkan Kematian Pelajar Junior Direman 8 Hari]
Tambah menghibakan, hasrat hatinya dan suami, Zime Yaakob, 49, untuk membuat kejutan dengan menyerahkan hadiah hari lahir buat Mohd Nor Akram tidak kesampaian.
Memetik kenyataan ibu Allahyarham menerusi laporan Harian Metro, “Saya mahu membuat kejutan kepada arwah anak apabila bercadang menghantar hadiah jam tangan sempena hari lahirnya yang ke-16 kelmarin (tiga hari lalu), namun ia tidak kesampaian apabila kami menerima berita kematiannya.”
Tambah Wan Zaleha lagi, kira-kira jam 10 malam sebelum kejadian, anaknya itu telah menghubunginya dan meminta hadiah sempena hari lahir.
[Suspek Sepak Pelajar Kolej Sampai Mati Ada Ilmu Silat & Tomoi]
Dalam laporan terdahulu, kejadian tersebut dipercayai berlaku akibat perselisihan faham yang berlaku antara Mohd Nor Akram dengan seorang pelajar senior di Kolej Vokasional Bachok, Kelantan.
Mangsa dikatakan telah dikejutkan dari tidurnya oleh suspek sebelum pelajar berusia 17 tahun itu menendang bahagian lehernya sehingga tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika tiba di klinik kesihatan berhampiran dan hasil bedah siasat mendapati urat lehernya putus.
Sementara itu, ibu bapa mangsa turut mengharapkan hukuman setimpal terhadap individu yang memperlakukan tindakan tersebut terhadap anak mereka.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: ALI, AHMAD & ABU
Laporan Berita Tentang Kematian Mohd Nor Akram