ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dalam operasi di Kulim dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, semalam.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata dalam ‘Ops Jaja dan Belanja’ di Kelang Lama, Kulim itu, enam lelaki Bangladesh; sembilan lelaki Myanmar; tiga lelaki Pakistan dan empat lelaki serta seorang wanita Indonesia ditahan.
Turut sama ditahan seorang lelaki Thailand.
Dalam operasi bermula 8.40 malam itu, pemeriksaan dilakukan terhadap 62 warga asing pelbagai warganegara dan 24 daripada mereka berumur 25 hingga 45 tahun ditahan, katanya dalam kenyataan Jumaat.
Kesemua warga asing yang ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen itu dibawa ke lokap Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Anak Bukit untuk siasatan lanjut, katanya.
Mohamad Yusri juga berkata pihaknya menahan seorang wanita Thailand berumur 34 tahun di laluan Kompleks ICQS, Kayu Hitam pagi semalam selepas mengesan kewujudan cop palsu pada pasportnya.
Hasil siasatan Imigresen Kedah, katanya, menunjukkan wanita itu yang ditahan pada 10.25 pagi didapati kerap keluar masuk Malaysia sejak 29 April tahun lepas untuk berjumpa teman lelakinya.
Wanita itu juga mendakwa mengeluarkan bayaran setiap kali mahu mendapatkan visa dan cop palsu untuk tinggal di negara ini, menurut beliau. – BERNAMA