KUALA KANGSAR – Istiadat Bersiram Tabal bagi pasangan diraja Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim yang berlangsung malam ini menyaksikan kesinambungan amalan unik yang kaya dengan adat tradisi Kesultanan Melayu.
Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Seri Diraja Datuk Ayob Hashim berkata istiadat yang dilangsungkan bersempena pertabalan Sultan Perak XXXV itu akan dimulakan oleh Raja Chik Muda Pawang Diraja Raja Rosli Raja Mohamad selepas selesai Istiadat Tabal Pusaka.
Raja Rosli dan Toh Seri Nara Diraja Mohd Shah Nong Chik, atau Toh Nara, merupakan individu yang bertanggungjawab menyediakan perkakas untuk Istiadat Bersiram Tabal.
Beliau berkata Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara akan berangkat ke tempat bersemayam di puncak Panca Persada setinggi 11 tingkat yang dibina khas untuk Istiadat Bersiram Tabal di perkarangan Istana Iskandariah, Bukit Chandan.
Turut mengiringi pasangan diraja ke Istiadat Bersiram Tabal ialah Raja Permaisuri Tuanku Bainun, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris serta Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
“Sehelai kain putih akan direntang serta dipegang oleh empat kerabat diraja wanita di setiap penjuru di tempat pasangan diraja itu bersemayam.
“Tuanku bersama Permaisuri akan berada di bawah kain putih tersebut sebelum air yang diambil dari tujuh kuala Sungai Perak dicurah ke atas pasangan diraja itu dengan diketuai Pawang Diraja, kemudian diikuti oleh Toh Nara dan Raja Datuk Seri Azureen (kekanda Sultan Nazrin Shah),” katanya.
Ayob berkata sejurus selesai Istiadat Bersiram Tabal, baginda berdua akan diselimutkan dengan kain benang emas kuning sebelum turun dari Panca Persada serta menyalin pakaian di Bilik Kesenangan dan berangkat ke Balairung Seri.
Sementara itu, Ketua Kumpulan Nobat Diraja Perak Toh Setia Guna Abdul Aziz Yahya berkata paluan nobat akan dimainkan sepanjang Istiadat Bersiram Tabal berlangsung.
Katanya, lagu yang dimainkan ialah ‘Raja Berangkat (Gendang Berangkat)’ dan ‘Puteri Mandi Mayang’.
Terdahulu, pada sebelah pagi Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di tujuh kuala Sungai Perak berlangsung dengan penuh tertib serta mematuhi adat dan tradisi.
Upacara dimulakan dengan tujuh kenderaan tentera yang dihiasi kain kuning membawa perkakas istiadat dan rombongan berkenaan berarak dari Istana Iskandariah, Bukit Chandan dengan diiringi paluan nobat menuju ke jeti Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), terletak di dataran tepi sungai, dan tiba pada pukul 9.30 pagi.
Rombongan Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal, yang diketuai Toh Nara, membawa perkakas istiadat kemudian masuk ke dalam dua bot yang dihiasi kain kuning.
Selain Sungai Kangsar, air bersiram tabal diambil dari enam kuala sungai lain iaitu Sungai Chempias, Sungai Saiyong, Sungai Hitam, Sungai Chermin, Sungai Buaia dan Sungai Menora yang kemudian dimasukkan ke dalam geluk. – BERNAMA