KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta kerajaan tidak mempedulikan pandangan negara China ke atas Malaysia kerana negara ini sebuah negara berdaulat.
Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan sepatutnya tidak membenarkan negara luar termasuk China menentukan dasar dalam negara dalam soal membenarkan mana-mana warga asing memasuki Malaysia.
“Menurut Ketua Polis Negara, Joshua Wong (aktivis pelajar Hong Kong) telah dihalang memasuki negara ini kerana ia mungkin menjejaskan hubungan Malaysia dengan Cina (China) dan akan mengancam keselamatan negara.
“Mengapa perlu hiraukan apa yang Cina (China) fikir tentang tindakan kita sedangkan Malaysia sendiri adalah negara berdaulat. Oleh itu adakah patut kita membenarkan negara asing menentukan dasar dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Joshua gagal memasuki negara pada Selalu lalu selepas ditahan pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebaik tiba dari Hong Kong.
Nik Nazmi berkata, Joshua dijadualkan berucap berkenaan gerakan pro-demokrasi Hong Kong dan peristiwa di Tiananmen Square di negara tersebut dalam satu majlis dialog.
Dakwanya, Joshua tidak pernah dijatuhkan hukuman jenayah di atas apa-apa kesalahan maka tiada sebab untuk dia dihalang memasuki Malaysia.
“Saya rasa lebih baik kerajaan Malaysia meminta maaf kepada Joshua serta membenarkan dia memasuki negara ini,” katanya. – Mynewshub.cc