KOTA BHARU – Jualan produk kraf di Kelantan menurun kepada RM33.8 juta dalam tempoh lima bulan tahun ini berbanding RM80 juta bagi tempoh yang sama pada 2014 ekoran bencana banjir pada Disember tahun lepas.
Pengarah Kraftangan Malaysia cawangan Kelantan Juhari Azmi berkata lebih 100 usahawan kraf dan batik di negeri itu mengalami kerugian apabila kilang mereka terjejas teruk akibat banjir.
“Kutipan jualan itu (RM33.8 juta) merupakan 24 peratus daripada nilai sasaran tahun ini iaitu sebanyak RM140 juta.
“Kita yakin sasaran itu berjaya dicapai melalui beberapa program pemulihan dan promosi jualan produk kraf yang bakal dianjurkan sepanjang tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di program Promosi Kraf Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata Kraftangan Malaysia memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi membantu memulihkan perusahaan kraf dan batik yang terjejas.
Bantuan pemulihan itu diagihkan dalam bentuk bahan mentah seperti kain putih, mesin pembuatan dan bahan kimia pembuatan batik.
Selain itu, Juhari berkata pihaknya sedang menaiktaraf seni kraf blok terap dan blok skrin cetakan bagi menghasilkan seni pembuatan batik bermotifkan kontemporari.
“Dengan adanya gabungan penghasilan batik bermotifkan kontemporari kami yakin batik tempatan mampu bersaing dengan kemasukan produk batik dari beberapa negara seperti India, Korea dan Thailand,” katanya.
Mengenai Promosi Kraf Malaysia selama 10 hari bermula Khamis lepas itu, beliau berkata ia menyasarkan kutipan jualan sebanyak RM600,000 dan bertujuan mempromosi produk kraf tempatan bagi memenuhi pasaran domestik.
“Seramai 61 usahawan kraf dari bidang tekstil, seramik, logam, hasil rimba dan aneka kraf menyertai program itu dan turut mengetengahkan demonstrasi kraf seramik, teknik acuan, dan teknik ‘potter’s wheel’ serta pembuatan atap singhora,” katanya.
Program bermula 10 pagi sehingga 10 malam itu turut dimeriahkan dengan aktiviti interaktif kraf seperti permainan tradisional, mewarna batik dan melukis pada pasu seramik selain persembahan wayang kulit dan dikir barat. – BERNAMA