KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memastikan pengagihan tiket Final Piala FA 2015 kepada penyokong pasukan Kelantan berjalan dengan lancar.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, KAFA turut berharap FAM dapat memberikan kerjasama supaya tiket turut di jual di Kota Bharu pada Selasa atau rabu ini.
“KAFA akan membantu mendapatkan tiket untuk rombongan (penyokong) yang menyewa bas kerana mereka perlu kepastian dapat tiket sebelum menempah bas.
“Saya harap pegawai KAFA membantu mereka yang perlukan tiket terutama yang bersedia membuat bayaran terlebih dahulu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Annuar dalam pada itu menyeru semua penyokong pasukan Kelantan memakai jersi pasukan, membawa bendera Kelantan dan The Red Warrios dalam aksi final tersbeut.
Beliau turut menyeru semua penyokong Kelantan supaya mempamerkan semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi untuk mengekalkan rekod bersih penyokong pasukan tersebut.
Pasukan Kelantan akan bertemu dengan LionsXII di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menentukan Juara Piala FA tahun ini. – mynewshub.cc