SIMUNJAN – Sasaran kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal (TVET) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) boleh menjadi platform untuk generasi muda menyumbang secara aktif dan berkesan kepada pembangunan negara.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata kaum ibu dan wanita perlu menggalakkan anak-anak mereka merebut peluang yang disediakan itu kerana dunia pada masa akan datang lebih terarah kepada ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi serta teknologi tinggi.
“TVET yang menjadi sebahagian daripada RMK11 boleh menjadi platform untuk anak-anak kita menjadi modal insan yang digemari oleh industri dan pasaran semasa.
“Oleh itu ambil peluang ini di peringkat sekolah agar masa depan anak-anak kita seiring dengan permintaan ekonomi masa depan yang berteraskan kreativiti dan inovasi,” katanya.
Nancy yang juga anggota Parlimen Batang Sadong berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian Sambutan Hari Ibu 2015 anjuran Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan, di sini hari ini. – BERNAMA