Pada Isnin, rakyat Malaysia dan mungkin umat Islam di seluruh dunia ‘terkesima’ apabila dilaporkan projek kereta api berlajuan tinggi Haramain (HHSR) antara kota suci Makkah dan Madinah di Arab Saudi telah dilancarkan.
MYNEWSHUB turut menerima berita ringkas itu secara ‘flash‘ yang tersebar pantas menerusi laman sosial popular Twitter dengan sudah diulang Retweet lebih 4,000 kali dan menjadi pilihan beribu-ribu pengguna lagi.
Mulanya memanglah teruja dan berbangga apabila projek tren laju itu yang sebenarnya telah lewat dua tahun daripada jadual asal akhirnya berjaya siap sekali gus menaikkan lagi imej Islam sebagai agama progresif.
Apa tidaknya, belum ada lagi mana-mana negara Arab khasnya di rantau Asia Barat yang terkenal kaya raya hasil minyak mereka memiliki teknologi pengangkutan massa amat canggih dan lebih gempar ia paling laju di dunia!
Bayangkanlah menerusi laporan Twitter itu, tren HHSR buatan Sepanyol mampu menghubungkan dua bandar tersebut dalam masa 90 minit merentasi landasan sejauh 450 kilometer pada kelajuan 360 kilometer sejam.
Malangnya, setelah semakan semula dibuat termasuk melalui beberapa portal berita tempatan dan antarabangsa, rupa-rupanya berita tersebut adalah palsu walaupun ada Twitter kononnya menyiarkan foto HHSR berkenaan.
Ironi, ramai pula pengguna media sosial terpedaya dengan laporan itu yang memaparkan gambar ‘bertanda air’ MEHR News Agency, sebuah agensi berita Iran yang turut menerbitkan akhbar berpengaruh, Tehran Times.
Lebih ‘ajaib’, berita dan gambar yang disiarkan Twitter itu langsung tiada dalam senarai arkib MEHR dan Tehran Times apatah lagi kenyataan media menerusi laman web rasmi Saudi Railways Organization (SRO).
Bagi anda yang belum tahu dan hendak tahu cerita lanjut berhubung projek HHSR, MYNEWSHUB pernah menyiarkan artikel mengenai kisah tren ini pada 25 Disember tahun lalu serta boleh klik seperti pautan di bawah.
Baca: Jemaah Haji 2015 Bakal Guna Tren Laju Canggih Makkah-Madinah
Secara ringkas, HHSR dijangka siap paling awal pun pada September depan dan berkemungkinan akan digunakan lebih dua juta jemaah haji yang datang dari seluruh dunia untuk menunaikan ibadah rukun Islam kelima itu.
Apa yang pasti, secara kebetulan ada program Pemukiman Perdana Menteri Malaysia dan Singapura bermula semalam dengan pengumuman mengenai pelan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura pada Selasa.
Dalam program tahunan tersebut, projek berkenaan menyatakan tren berkelajuan 300 kilometer sejam itu bakal menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam masa 90 minit; macam kebetulan pula dengan HHSR!
Jelaslah berita HHSR sudah dilancarkan pada 4 Mei bukan sahaja karut, bahkan tempoh masa diambil antara Makkah dan Madinah hanya 90 minit juga amat tidak munasabah waima tren Jepun paling laju di dunia pun.
Kesimpulannya, ramai netizen yang menjadi mangsa berita lawak prank entah daripada sumber mana, walhal projek itu masih lagi rancak dalam pembinaan sebelum siap selepas Hari Raya Puasa nanti. – MYNEWHUB/H.A.AMREE