BATU PAHAT – Keluarga kepada isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datin Habibah Mahmud memohon semua pihak terutama pihak media supaya memberi ruang privasi kepada mereka dan memahami situasi kesedihan yang mereka sedang hadapi.
Adik ipar Allahyarham yang enggan dikenali berkata, buat masa ini mereka sekeluarga terutama ibu Allahyarham masih terkejut dengan kejadian yang berlaku.
“Ibu mentua saya sedang bersedih kerana kehilangan dua anggota keluarga iaitu suaminya dan Habibah dalam tempoh yang singkat. Harap semua pihak faham dengan keadaan kami,” katanya kepada pemberita di rumah keluarga Habibah di Pekan Semerah di sini hari ini.
Bapa Habibah, Mahmud Abdul Aziz, 80-an meninggal dunia pada Mac lepas.
Habibah maut selepas helikopter tentera Pakistan yang membawa rombongan duta-duta asing terhempas di kawasan Lembah Naltar, Pakistan semalam. – BERNAMA