ROMPIN – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin disifatkan sebagai satu keputusan yang boleh dibanggakan.
Ketua Penyelaras Jentera BN PRK itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun jumlah majoriti diraih BN tidak mencapai sasaran ditetapkan, ia bukan satu jumlah yang kecil berdasarkan pelbagai isu dibangkitkan oleh pembangkang.
“Kita kena faham situasi pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil adalah berbeza, kita telah cuba pastikan pengundi keluar mengundi.
“Bila kita buat post mortem nanti, kita akan tahu, mungkin kerana pengundi luar tidak balik. Kita akan cari sebab majoriti berkurangan,” kata Naib Presiden UMNO itu kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK itu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, malam ini.
Pada PRU ke-13 lepas, penyandang kerusi Parlimen itu Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis memperoleh majoriti 15,114 undi, setelah meraih 30,040 undi atau 66.53 peratus, berbanding pencabarnya calon PAS Nuridah Mohd Salleh yang mendapat 14,926 undi atau 33.06 peratus.
Pada PRK Rompin hari ini, calon BN Datuk Hasan Arifin mendapat 23,796 undi atau 61 peratus, berbanding calon PAS Nazri Ahmad yang mendapat 14,901 undi atau 39 peratus.
Hasan menewaskan Nazri dengan majoriti 8,895 undi.
Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata jumlah mereka yang keluar mengundi pada PRK itu berkurangan dengan hanya 74 peratus atau 38,697 pengundi, berbanding 85 peratus atau 46,035 pengundi pada PRU-13.
Beliau berkata tumpuan BN kini adalah untuk meneruskan agenda serta membela nasib rakyat.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kemenangan itu harus diterima dengan reda, walaupun majoritinya berkurangan daripada PRU lepas.
Adnan menyifatkan keputusan itu sebagai ‘memuaskan’, namun kekurangan majoriti menunjukkan ‘suatu mesej’ yang ingin disampaikan oleh pengundi di Rompin kepada kerajaan.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan dan negeri perlu mengkaji mesej tersebut dan membuat perubahan supaya BN dapat mencatat keputusan lebih baik pada PRU akan datang.
“Mungkin mesej ini berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta isu Felda. Kita (kerajaan) harus menanganinya, selesaikan dan berharap mereka (rakyat) akan lebih memahami,” katanya.
Adnan juga berjanji untuk menilai semula isu serta masalah yang dihadapi oleh penduduk Rompin, termasuk masyarakat Orang Asli.
Beliau juga memberi jaminan akan bekerjasama dengan anggota Parlimen Rompin yang baharu Datuk Hasan Arifin untuk menangani isu bekalan air bersih dan sumber pendapatan Orang Asli.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kemenangan Hasan pastinya akan memberi impak kepada pembangunan di Rompin.
Beliau turut berterima kasih kepada jentera BN yang telah ‘berkampung’ untuk memastikan kemenangan calon parti itu pada PRK tersebut. – BERNAMA
https://youtu.be/rktzfUu4Q_o