ALOR SETAR – Kerajaan akan mencari penyelesaian bagi menyekat kemasukan lebih ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya dari Myanmar ke negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ia kerana perlindungan yang ditawarkan oleh kerajaan kepada golongan itu mendorong lebih ramai untuk datang ke negara ini secara haram.
Katanya setakat ini kira-kira 80,000 etnik Rohingya berada di negara ini sama ada secara sah atau haram dan ia perlu diberi perhatian oleh pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
“Ini salah satu masalah selepas kita beri perlindungan kepada mereka. Ramai yang akan datang nanti. Kalau kita tak tolong mereka kata kita kejam. Perkara ini sama berlaku di negara Eropah selepas PATI diberi perlindungan.
“Saya harap Malaysia sebagai tuan rumah bagi Forum Serantau ASEAN akan mengusahakan sesuatu bagi mengatasi masalah ini,” katanya dalam sidang media pada majlis Penutup Forum Serantau ASEAN-Latihan Bantuan Bencana (ARF-DiREX 2015) di sini hari ini.
Shahidan berkata kerajaan sebelum ini bersetuju memberi perlindungan selama setahun kepada etnik Rohingya yang ditahan di Langkawi sebelum ini.
Sementara itu, beliau turut meminta individu yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia sebelum ini agar tampil memberi maklumat tepat agar dalang yang bertanggungjawab ditahan oleh polis.
Katanya berkemungkinan mereka yang terlibat dalam sindiket itu tidak mengetahui mengenai kegiatan penyeksaan dan pembunuhan terhadap PATI yang ditempatkan di kem haram di sempadan negara ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat orang tempatan yang mahu mendapatkan wang dengan mudah melalui aktiviti terbabit.
“Kalau sesiapa ada maklumat berkaitan kejadian itu mereka juga boleh salurkan maklumat bagi memudahkan lagi proses mengenal pasti dalang di sebalik aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya. – BERNAMA