KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor menghormati apa sahaja sekolah yang menjadi pilihan ibu bapa di Selangor untuk anak-anak mereka mendapat pendidikan termasuk sekolah jenis kebangsaan.
Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, apa yang penting para guru di sekolah terbabit memberi kerjasama untuk memperkayakan modal insan di negeri itu.
“Sama ada pendidikan yang terhasil daripada sekolah-sekolah kebangsaan yang dilihatkan sebagai pilihan ideal, mahupun sekolah-sekolah lain pilihan para ibu bapa termasuklah sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan, sekolah swasta dan sebagainya.
“Kerajaan Selangor menghormati pilihan itu dan hanya mengharapkan komitmen yang sama di kalangan semua yang terlibat di dalam mendidik pelajar,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Guru di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata, Selangor mempunyai potensi yang hebat untuk menjadi peneraju era global terutamanya di dalam bidang akademik kerana ekayaan sumber manusia yang terdapat di negeri itu.
Justeru, katanya, sumbangan para guru amat bernilai bagi memastikan sumber manusia yang berkualiti dan berketerampilan mulia tidak akan putus malahan sentiasa meningkat hasilnya. – Mynewshub.cc