KUALA LUMPUR – Kerajaan yakin sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5 dan 6 peratus setahun bagi tempoh 2016-2020 dapat dicapai, didorong oleh persekitaran ekonomi yang positif di dalam dan luar negara.
“Saya yakin sasaran dapat dicapai,” kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.
Persekitaran global akan lebih positif bagi pertumbuhan dan negara seperti Malaysia boleh meraih manfaat daripadanya, katanya kepada pemberita selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Di bawah RMK11, KDNK sebenar dijangka berkembang antara 5 dan 6 peratus setahun bagi tempoh 2016-2020, menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara kasar per kapita sebanyak 7.9 peratus setahun.
Mengenai bajet, Ahmad Husni turut yakin Malaysia dapat mencapai bajet seimbang pada 2020.
Beliau berkata kajian menyeluruh menunjukkan dasar fiskal Malaysia untuk mengurangkan defisit bajet berada pada landasan, justeru, “kami yakin, tahun 2020 akan menyaksikan bajet seimbang.”
Pada Januari, kerajaan menyemak semula sasaran defisit fiskal kepada 3.2 peratus berbanding tiga peratus sebelum ini berikutan harga minyah mentah yang rendah dan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan. – BERNAMA