Para pengikut dunia seni tempatan sememangnya sedar akan kerjasama yang sering terjalin antara dua ikon muzik tanahair iaitu Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Aubrey Suwito.
Selaku penyanyi, Siti dilihat selalu mendapatkan khidmat Aubrey sebagai pengarah muzik dalam persembahannya.
Malah, dalam pembikinan album-album terdahulu, Aubrey turut menyumbang beberapa lagu selain menjadi penerbit.
Lantas, keakraban kerjasama mereka telah disalah erti pihak-pihak tertentu sehingga ada yang menganggap Aubrey sebagai hak eksklusifnya seorang.
Dalam satu kenyataannya, Siti menafikan khabar angin tersebut lantas berkata, kekerapannya menjalinkan kerjasama dengan Aubrey adalah disebabkan keselesaan dan keserasian antara mereka.
Ujarnya kepada portal The Rakyat Post, “Apabila mudah untuk bekerjasama dengan orang yang faham dengan kehendak kita terutama membabitkan soal kualiti muzik, saya sangat senang dan tidak kisah untuk terus bekerja kerap bersama mereka.
“Disebabkan itulah mengapa saya melibatkan Aubrey dalam setiap projek seni saya tidak kira album, lagu konsert, mahupun persembahan pentas kerana saya percaya dengan kredibilitinya sebagai seorang komposer, penerbit dan juga pengarah muzik.
“Dalam satu aspek lain, dia dapat memberikan apa yang saya mahukan untuk muzik saya dan kami saling berkongsi idea dalam menghasilkan yang terbaik.”
Bukan itu sahaja, Siti turut menganggap Aubrey sebagai sifunya dalam karier sebagai penyanyi!
Selain itu, Siti turut memberitahu bahawa dia tidak pernah menghalang kebebasan komposer itu untuk menjalinkan kerjasama dengan penyanyi lain.
“Ya, Aubrey mungkin selalu bekerja dengan saya, tetapi, ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah masuk campur atau menetapkan apa-apa keputusan berkaitan dengan perihal kerjayanya.”
Dalam perkembangan terbaru, Siti baru sahaja merekodkan satu lagu baru gubahan Aubrey bertajuk Menatap Dalam Mimpi. Sama-sama kita nantikan hasilnya tidak lama lagi.
MYNEWSHUB.CC
Oleh: ALI, AHMAD & ABU
Salah Satu Lagu Ciptaan Aubrey Suwito – Jaga Dia Untukku