KANGAR – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Perlis merampas 185 bag tiruan jenama antarabangsa bernilai lebih RM13,600 di Padang Besar, 30km dari sini, semalam.
Ketua Penguatkuasanya, Jamal Nor Ahmad Harun berkata kebanyakkan bag tiruan itu adalah bag tangan wanita menggunakan jenama Gucci, Louis Vuitton, Chanel dan Prada.
Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini rampasan itu hasil serbuan di sebuah premis perniagaan di Gapura Square berhampiran arked niaga Majlis Perbandaran Kangar di Padang Besar, kira-kira pukul 11.15 pagi semalam hasil maklumat ejen pemilik cap dagangan produk berkenaan.
Pemilik premis itu bagaimanapun tidak ditemui namun percakapan penyelia premis itu yang berumur 30 tahun telah dirakam untuk tindakan lanjut, kata Jamal Nor.
Menurutnya rampasan itu adalah yang kedua terhadap premis berkenaan yang sebelum ini pernah diserbu pihaknya pada 2012.
Kes kali ini disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukan denda maksimun RM250,000 atau tiga tahun penjara jika sabit kesalahan, katanya.
Jamal Nor berkata pemilik cap dagangan sahaja lebih mengenali barang tulen dan tiruan kerana mereka sahaja yang mengetahui perbezaannya berdasarkan tanda-tanda tertentu yang menjadi rahsia perniagaan.
Dalam perkembangan lain beliau berkata 4,773 premis perniagaan di seluruh negeri telah diperiksa bagi mengesan peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dilaksanakan pada 1 April lepas hingga semalam.
Jamal Nor berkata pihaknya mengesan 33 kesalahan yang membawa kepada rampasan barangan bernilai RM1,838 dan kompaun berjumlah RM6,450. – BERNAMA