SEORANG lelaki, Amal Adil Alias, 26, didakwa di Mahkamah Seksyen Sepang atas pertuduhan membunuh tunangnya awal bulan ini sebelum mayatnya ditemui orang awam di dalam belukar di bawah jambatan berhampiran Cyberjaya.
Amal seorang ahli perniagaan IT dituduh melakukan kesalahan itu terhadap tunangnya, Rosshida Abdullah, 30, di antara pukul 5 pagi hingga 1 tengah hari pada 6 Mei lalu.
Mayat Wanita Ditemui Dalam Belukar Di Cyberjaya
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Memetik laporan Bernama, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Amal mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
25 Jun ini ditetapkan sebagai sebutan bagi mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya B. Uma Devi manakala tertuduh diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: JASMIN