MONROVIA – Liberia diisytiharkan bebas Ebola selepas 42 hari tanpa kes baharu, kata pasukan bantuan perubatan Medecins Sans Frontieres (MSF), tetapi pemantauan tetap dipertingkatkan selagi wabak itu masih membelenggu negara jiran Guinea dan Sierra Leone.
Angka kematian akibat Ebola di tiga negara berkenaan hingga kini adalah 11,005 sejak wabak itu melanda pada Disember 2003, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Hampir separuh daripada angka kematian direkodkan di Liberia apabila wabak itu memuncak pada Ogos dan Oktober tahun lalu sehingga mencetus panik di seluruh dunia.
Amerika Syarikat (AS) menghantar beratus-ratus tentera untuk membina klinik rawatan di negara itu yang diasaskan golongan hamba yang bebas di AS.
Dibantu tentera AS, kerajaan pimpinan Presiden Ellen Johnson mempertingkatkan kempen kesedaran di seluruh negara untuk mengekang gejala Ebola yang tersebar menerusi hubungan fizikal dengan penghidap.
Mengikut MSF, 42 hari adalah dua kali ganda tempoh inkubasi virus Ebola, tetapi pihaknya akan hanya berasa selamat apabila ketiga-tiga negara berkenaan mencatat rekod yang sama.
Justeru, Ketua Misi MSF di Liberia, Mariateresa Cacciapuoti, menggesa kerajaan Liberia meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kemasukan secara haram penduduk dari Guinea dan Sierra Leone ke negara itu. – Reuters