KUALA LUMPUR – Malakoff Corporation Bhd, yang mula disenaraikan di Papan Utama, berhasrat untuk menambah loji janakuasa arang batu pada masa depan memandangkan ia dapat menjana lebih banyak perolehan.
“Memandangkan negara semakin berkembang, kami tahu kerajaan mahu lebih banyak lagi loji arang batu kerana ia lebih murah, jadi kurang tekanan tarif kepada pengguna.
“Kami berpendapat kami boleh membantu kerajaan dalam mencapainya, bagaimanapun, kami tidak hanya terhad kepadanya (loji janakuasa arang batu) kerana kebanyakan loji kami di Malaysia berkuasa gas,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Faisal Albar pada sidang akhbar selepas penyenaraian syarikat itu hari ini.
Malakoff mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM1.81, dengan premium satu sen, berbanding harga tawaran RM1.80.
Sejumlah 13.8 juta saham diniagakan semasa pembukaan, menjadikan jumlah hasil yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO) kepada kira-kira RM2.74 bilion.
Penyenaraian Malakoff, pengeluar tenaga bebas (IPP) terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara dari segi jumlah kapasiti penjanaan, akan menambah RM9 bilion dalam permodalan pasaran Bursa Malaysia.
Ia kekal pada RM1.80 selepas dua jam dagangan.
Pengerusi Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata aset tempatan menyumbang 65 peratus daripada jumlah pendapatan Malakoff manakala aset di luar negara menyumbang baki 35 peratus.
Bagaimanapun, syarikat itu kini tidak meninjau untuk meningkatkan pendedahan di luar negara.
Malakoff mempunyai aset tenaga dan air aset di Malaysia, Timur Tengah, wilayah Afrika utara dan Australia.
Mengenai masa depan, syarikat itu menyasar untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga berkesan kepada 10,000 megawatt (MW) dan menambah kapasiti pengeluaran air berkesan sebanyak kira-kira 150 peratus pada tahun 2020.
Pada masa ini, jumlah kapasiti penjanaan tenaga berkesan pada 6,036 megawatt sementara kapasiti pengeluaran air berkesan sebanyak 358,850 meter padu sehari setakat Mac. – BERNAMA