KUALA LUMPUR – Malaysia merupakan negara pertama dipilih untuk pelancaran ‘Youth for Education, Sustainability and Peace (YESPeace) Malaysian Chapter’, satu inisiatif di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia merupakan satu platform terbaik untuk golongan belia menyuarakan pandangan dan pendapat mereka mengenai isu-isu berkaitan keamanan dan pembangunan mampan.
“Inisiatif YESPeace ini dipelopori Mahatma Gandhi Institute of Education for Peace and Sustainable Development yang juga di bawah UNESCO,” katanya ketika berucap melancarkan YESPeace Malaysian Chapter dan sambutan Hari UNESCO Malaysia 2015 dengan tema ‘Togetherness’ (Kebersamaan) di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova.
Muhyiddin berkata sambutan Hari UNESCO tahun ini memberi fokus utama kepada golongan belia.
Menurut Muhyiddin, peningkatan cabaran dan ancaman global masa kini dan hakikat betapa kritikalnya untuk masyarakat dunia bersatu membuatkan pemilihan tema ‘togetherness’ ini dilihat amat kena pada masanya.
“Tema ini turut menyokong usaha UNESCO yang secara berterusan mendidik dan memupuk masyarakat global untuk lebih memahami kepelbagaian dan hidup bersama secara aman dan harmoni,” katanya.
Mengenai pendidikan, Muhyiddin, yang juga menteri pendidikan berkata, beliau pernah mengadakan pelbagai rangka kerja mengenai perkara berkaitan pendidikan termasuk mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di ibu pejabat UNESCO di Perancis pada 2013.
“Saya juga menyampaikan kepada Irina Bokova, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 mengenai pendidikan tinggi semasa lawatan saya ke Paris, baru-baru ini,” kata beliau.
Muhyiddin mengambil perhatian bahawa rangka kerja dan aktiviti berkenaan menggariskan betapa rapatnya hubungan antara Malaysia dengan UNESCO.
Sebagai anggota sejak 1958, katanya, Malaysia telah memainkan peranan aktif dan penting dalam agensi PBB itu.
“Dan saya boleh nyatakan bahawa aspirasi UNESCO sentiasa menjadi titik rujukan bagi rancangan dan matlamat pembangunan kami,” kata beliau. – BERNAMA