PUTRAJAYA – Golongan ilmuan dan para cendekiawan Islam harus menyampaikan maklumat yang tepat dan betul melalui media sosial tentang sesuatu isu yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.
Beliau berkata, kemunculan pelbagai aplikasi media sosial seperti Whatsapp, Facebook, Twitter dan blog telah membawa pengaruh dan trend baharu dalam kalangan masyarakat dan pengikut.
“Dengan mesej dakwah penuh berhikmah, media baharu merupakan satu daripada medium terpantas untuk menyampaikan maklumat tepat dan terkini dengan rasa bertanggungjawab.
“Peluang ini tidak seharusnya dipersia-siakan oleh kita, malah kemahiran berdakwah menerusi media baharu merupakan satu daripada pakej pelengkap dalam penyebaran dakwah,” katanya ketika merasmikan Persidangan Tahunan Agama bertemakan ‘Indahnya Perjalanan ke Syurga, Hebatnya Dugaan di Dunia; di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri di sini hari ini.
Othman berkata, aplikasi media sosial harus digunakan ke arah kebaikan dan perkara-perkara yang berfaedah dan bermanfaat semata-semata. – BERNAMA